Shahul Dawood.

KUALA LUMPUR – Sekretariat Jawatankuasa Khas Covid-19 menggariskan tiga teras utama untuk diambil tindakan segera oleh kerajaan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Setiausahanya, Shahul Dawood berkata, perkara pertama, Bank Negara perlu mengurangkan nisbah keperluan rizab berkanun (SRR) kepada dua peratus dan melakukan tindakan segera menyalurkan kemudahan bantuan khas RM30 bilion kepada pasaran tempatan bagi membantu PKS yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Bantuan khas ini perlu disalurkan segera bagi menggerakkan ekonomi domestik yang terkesan akibat isu Covid-19 ini,” katanya selepas Mesyuarat Sekretariat Jawatankuasa Khas Covid-19 di sini semalam.

Perkara kedua, katanya, Kementerian Kewangan perlu mengarahkan bank-bank agar meminta penangguhan bayaran kepada syarikat dan individu yang terjejas selama enam bulan.

Jelas Shahul, perkara ketiga yang perlu dilakukan segera akibat pandemik yang sama ialah menyalurkan Kemudahan Bantuan Khas (SRF) RM3.5 bilion tanpa mengenakan syarat yang ketat seperti pinjaman perniagaan biasa.

“Kami ingin bantuan khas ini disalurkan tanpa mengikut proses syarat pinjaman yang ketat” katanya.

Pada Selasa lalu, Sekretariat Jawatankuasa Khas Covid-19 turut meminta kerajaan menyediakan pakej rangsangan ekonomi kedua kepada sektor perusahaan kecil bagi mendepani cabaran penularan wabak itu dalam negara.

Sekretariat Jawatankuasa Khas Covid-19 ditubuhkan oleh NGO dan pelbagai industri antaranya membabitkan Dewan Perdagangan dan Industri Kebangsaan Malaysia (NCCI); Dewan Perdagangan dan Industri Asean (ACCI); Perusahaan Kecil Sederhana (SME); Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA).- MalaysiaGazette