Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi bercakap kepada media selepas mengadakan lawatan untuk meninjau perkembangan semasa barangan keperluan yang dibeli oleh orang ramai berikutan Perintah Kawalan Pergerakan masuk hari kelima bagi mengelak penularan wabak Covid-19 di Hero Market, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 22 MAC 2020

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata cadangan untuk memberikan secara percuma penutup mulut dan hidung kepada rakyat di negara ini masih dalam perbincangan.

Menurut menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi, keputusan itu akan diputuskan oleh Jawatankuasa Khas Covid-19 yang diketuainya oleh Menteri Kanan kerajaan.

“Itu (saranan beri penutup mulut dan hidung percuma) terserah kepada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara. Itu ada diperbincangkan tapi bukan saya nak beri maklumat tentang itu,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan untuk meninjau perkembangan semasa barangan keperluan yang dibeli oleh orang ramai berikutan Perintah Kawalan Pergerakan masuk hari kelima bagi mengelak penularan wabak Covid-19 di Hero Market, Putrajaya.

Sebelum ini timbul rungutan masyarakat agar kerajaan memberikan secara percuma penutup mulut dan hidung serta cecair pencuci tangan.

Ia kerana kesukaran untuk masyarakat mendapatkan kedua-dua produk berkenaan kerana kekurangan bekalan.

Sebelum ini Thailand merancang untuk memberi 30 juta topeng penutup mulut secara percuma kepada rakyatnya untuk memerangi penularan Covid-19.

Terbaharu pelakon Beto Kusyairy menyarankan agar kerajaan memberi topeng muka dan cecair pembasmi kuman secara percuma kepada penduduk di kawasan penularan Covid-19 berisiko tinggi, menarik perhatian netizen.

Melayangkan idea itu melalui Twitter, ramai pengikut pelakon itu menyambut baik idea Beto yang dikatakan mampu mengekang tindakan peniaga yang cuba mengambil kesempatan.

Dalam pada itu, Nanta Linggi turut menafikan wujudnya pembelian panik dalam kalangan pembeli sehingga kini.

“Kita puas hati kerana difahamkan bahawa pemilik supermarket ini tidak ada masalah bekalan tidak mencukupi. Memang ada peningkatan dalam pembelian harian oleh pengguna tapi tidak sampai kepada pembelian panik.

“Saya turut berbual dengan beberapa pembeli dan mereka nampak tidak pun beli secara berlebih-lebihan. Saya tanya dia jawab tidak perlu beli secara panik kerana supermarket ini sentiasa ada bekalan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette