Foto hiasan

SINGAPURA – Berikutan peningkatan kes import wabak COVID-19, Singapura akan mengenakan sekatan sempadan sepenuhnya ke atas semua pelawat sama ada jangka pendek atau transit dari seluruh negara, daripada memasuki republik itu berkuat kuasa, pada 11.59 malam, 23 Mac ini.

“Arahan itu akan berkuat kuasa bermula 23 Mac, 2020, 2359,” menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini.

Menurut kenyataan MOH, Singapura hanya akan memberi kebenaran keluar masuk kepada mereka yang memiliki pas pekerja, termasuk tanggungan mereka, bagi yang terlibat dalam sektor perkhidmatan penting seperti perubatan dan pengangkutan.

Sebelum ini,  pelaksanaan sekatan sempadan masih membenarkan pengembara jangka pendek dari mana-mana negara masuk ke Singapura, dengan diberikan Notis Duduk di Rumah (SHN) selama  tempoh 14 hari, kecuali pengembara daripada beberapa negara sahaja.

Menurut kementerian, sehingga Sabtu, sejumlah 533 pengembara jangka pendek tiba di Singapura. Pada kebiasaannya, pengembara jangka pendek diberi kebenaran menginap antara 30 hingga 90 hari sahaja di republik itu.

Hampir 80 peratus kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh tiga hari di Singapura adalah kes import, kebanyakannya adalah rakyat Singapura dan juga pemegang pas jangka panjang yang baru kembali dari luar negara.

Kes import ini mempunyai sejarah perjalanan ke 22 negara yang berlainan.

— BERNAMA