Seorang pekerja farmasi menampal notis topeng muka telah habis dijual berikutan penularan wabak Covid-19 semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan mungkin mengkaji semula harga siling penutup mulut dan hidung yang dinaikkan kepada RM2 sekeping sejak 18 Mac lalu.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan mengenainya akan diputuskan esok.

“Harga tersebut terlalu tinggi, Perdana Menteri sendiri tidak setuju.

“Jadi seperti biasa dalam mesyuarat pagi esok kami akan berbincang kerana tiada sebab untuk menaikkan harga penutup mulut dan hidung

“Sebelum ini kerajaan telah bersetuju untuk menghapuskan duti import untuk membeli penutup mulut dan hidung,” katanya semasa sidang media hari ini.

Dua hari lepas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi mengumumkan harga siling penutup muka dan hidung dinaikkan kepada RM2 sekeping berbanding 80 sen sekeping sebelum ini.

Harga siling baharu itu telah mula berkuatkuasa sejak 18 Mac lalu.

Ini katanya bagi menggalakkan lebih ramai peniaga mengimport penutup hidung dan mulut bagi mengatasi kekurangan bekalan di pasaran tempatan.- MalaysiaGazette