Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu tidak perlu takut untuk membuat ujian saringan COVID-19.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka tidak akan ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Ini kerana menurut beliau, fokus kerajaan pada ketika ini adalah untuk memastikan semua peserta tabligh tersebut menjalani ujian saringan wabak Covid-19 dan bukannya status dokumen perjalanan mereka.

Dengan itu, beliau menyeru semua warga asing sama ada yang memiliki dokumen perjalanan yang sah atau tidak untuk tampil secara sukarela menjalani ujian saringan COVID-19.

“Semasa perhimpunan tersebut mungkin ada pendatang asing yang tiada dokumen perjalanan ataupun jika mereka etnik Rohingya sekali pun, tidak perlu takut.

“Kita tidak fokus kepada dokumen perjalanan mereka, kita bukan mahu tangkap, paling teruk pun kami suruh mereka dikuarantinkan,” katanya semasa sidang media hari ini.

Tambah Ismail Sabri, pada masa ini polis telah diberi kuasa untuk menangkap jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan tersebut tetapi enggan untuk menjalani ujian saringan.

Identiti peserta sudah dikenal pasti, katanya.

“Polis sudah mengesan hampir 9,000 orang dan kami menyeru semua jemaah tabligh yang telah menghadiri perhimpunan berkenaan serta ahli-ahli keluarga mereka untuk menjalani ujian saringan.

“Ini kerana jika tidak silap saya, kematian di Sarawak baru-baru ini bukan sahaja terjadi kepada anggota tabligh tetapi ahli keluarga. Mereka mempunyai risiko yang tinggi.

“Polis mungkin akan mencari tetapi kita bukan mahu tangkap atau menahan di lokap, kami cuma mahu membawa mereka ke klinik.

“Ini adalah demi keselamatan diri mereka dan keluarga. Jika orang ramai mempunyai maklumat, boleh maklumkan kepada pihak polis,” katanya lagi .- MalaysiaGazette