Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 23 MAC 2020

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berjaya mendapatkan bekalan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) sebanyak 33 juta unit yang mampu menampung penggunaan di semua kemudahan kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua bekalan PPE itu akan diedarkan sepanjang minggu ini.

Jelas beliau, pada masa sama, sejumlah tiga juta unit PPE sedang diagihkan ke kemudahan kesihatan mengikut keperluan hasil
sumbangan yang diterima kerajaan daripada pelbagai pihak.

“Pihak KKM ingin memaklumkan bahawa isu kekurangan bekalan PPE kini merupakan satu isu global.

“KKM sentiasa memberi keutamaan kepada keselamatan ahli keselamatan.

“Oleh itu, kami telah mengambil pelbagai langkah dalam memastikan bekalan PPE yang mencukupi untuk setiap kemudahan kesihatan melalui penyelarasan membekalan bersama Jabatan Kesihatan Negeri.

“Sehingga kini, pihak KKM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak atas sumbangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di KMM di sini hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham memberitahu topeng muka tidak boleh diguna pakai semula dan sesuai untuk tempoh penggunaan selama lapan jam sahaja.

Mengenai aduan orang ramai yang ditahan pihak berkuasa kerana tidak memakai topeng muka, beliau menjelaskan, pihak berkuasa hanya boleh memberi nasihat berbanding menahan mereka. – MalaysiaGazette