Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud

DUBAI – Arab Saudi akan melaksanakan perintah berkurung mulai hari Isnin ini selepas kes jangkitan koronavirus melonjak.

Raja Salman mengarahkan perintah berkurung mulai jam 7 malam hingga 6 pagi selama 21 hari, menurut agensi berita SPA.

Arab Saudi merekodkan 119 kes baru Covid-19 kepada 511 kes, tertinggi di rantau Arab, kata Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah menggantung semua penerbangan masuk dan keluar negara itu selama dua minggu.

Tetapi operasi kargo beroperasi seperti biasa.

UAE juga mengarahkan penutupan pusat beli-belah, komersial. Hanya farmasi dan pasar-pasar raya dibenarkan dibuka.

Restoran pula hanya dibenarkan membuat penghantaran sahaja.

Penutupan itu akan berkuatkuasa 48 jam untuk tempoh dua minggu tertakluk kepada kajian dan penilaian.

Jumlah kes di enam negara Majlis Kerjasama Teluk itu kini mencecah lebih daripada 1,700 kes.

Bahrain telah mencatatkan kes kematian kedua pada hari Ahad, membabitkan seorang warga negara yang dibawa pulang dari Iran. – MalaysiaGazette