Kementerian Kesihatan

KUALA LUMPUR – Mangsa terbaharu wabak COVID-19 disahkan meninggal dunia pukul 9.05 malam tadi di Unit Rawatan Rapi, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) UKM.

Allahyarham seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 70 tahun telah masukkan ke wad pada Rabu, 18 Mac dengan simptom demam dan mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Beliau juga mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia pada Februari lalu dan Kementerian Kesihatan dimaklumkan mangsa juga merupakan pengerusi surau kawasan setempatnya.

“Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat satu (1) lagi pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 yang telah dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

“Pelaporan terbaharu ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia sebanyak sebelas (11) orang setakat ini,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Noor Hisham berkata, Allahyarham disahkan positif COVID-19 pada 19 Mac 2020 dan diberi bantuan pernafasan di ICU.

“Kesihatannya merosot hari demi hari dan telah disahkan meninggal dunia pada 22 Mac 2020 jam 9.05 malam.

“KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga pesakit,” katanya. -MalaysiaGazette