Orang ramai hadir bagi pemeriksaan kesihatan diperiksa tekanan suhu badan oleh jururawat yang bertugas susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Klinik Kesihatan Seksyen 7, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 23 MAC 2020

SHAH ALAM – Pelbagai cara digunakan orang ramai untuk mengelakkan diri daripada dijangkiti wabak Covid-19 selain pemakaian topeng muka dan cecair pembasmi kuman.

Tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati penggunaan pencungkil gigi mampu menyelamatkan nyawa, lebih-lebih lagi ketika berurusan di mesin juruwang automatik (ATM).

Menurut seorang warga emas, Sulaiman Tonek, 61, dari Seksyen 2 di sini, dia sentiasa membawa pencungkil gigi untuk menekan butang pin mesin ATM bagi mengelakkan dijangkiti wabak Covid-19.

Sulaiman Tonek hadir bagi membuat pemeriksaan kesihatan di Klinik Kesihatan Seksyen 7, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 23 MAC 2020

“Kalau kita nak tekan butang pin, kalau pergi ke ATM, kita pakai sama ada pen ataupun pencungkil gigi.

“Memang saya bawa pencungkil gigi ke mana sajalah, itu memang efektif, lepas pakai kita buang,” katanya ketika ditemui di luar Klinik Kesihatan Kerajaan Seksyen 7, di sini, hari ini.

Bagi seorang penjawat awam pula, Muhamad Khairul Ridzuan Mohamad Noor, 33, dia akan memastikan setiap kali keluar, pintu hanya boleh dibuka oleh orang yang berada di rumah saja.

Muhamad Khairul Ridzuan Mohamad Noor hadir bagi membuat pemeriksaan kesihatan di Klinik Kesihatan Seksyen 7, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 23 MAC 2020

“Memang risau juga keluar rumah, persediaan saya macam biasa kita pakai sanitizer.

“Bila kita nak balik nanti, kalau boleh biar orang yang ada di rumah yang pegang tombol pintu.

“Lepas itu kita terus mandi, baju terus basuh, kita ikut saranan doktor,” katanya.

Bagi seorang lagi warga emas, Hamsatun Ibrahim, 62, dia terpaksa mengasingkan diri dengan suami dengan tidur bilik berasingan kerana faktor kesihatan.

Hamsatun Ibrahim hadir bagi membuat pemeriksaan kesihatan di Klinik Kesihatan Seksyen 7, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 23 MAC 2020

“Suami pun tak berapa nak sihat, jadi terpaksa bilik asing-asing, risau juga takut berjangkit.

“Kita kena ikut apa yang kerajaan sarankan, tak payah keluar. Kebetulan makcik pun tak berapa sihat.

“Sentiasa takut nak keluar rumah, macam ada sesuatu nak kejar kita, jadi kita mesti berhati-hati,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast