Kawasan sekitar Hubei masih lengang. foto Agensi

BEIJING – China menyaksikan semula penurunan kes koronavirus, selepas merekodkan kenaikan empat hari berturut-turut.

Beijing telah meningkatkan langkah-langkah membendung kes jangkitan khususnya dalam kalangan mereka yang baru balik ke China.

Ini termasuk mengalihkan semua penerbangan antarabangsa ke lapangan-lapangan terbang lain termasuk Shanghai dan Xian.

Para penumpang juga perlu menjalani pemeriksaan saringan.

Sebelum ini peraturan itu dikuatkuasakan kepada penumpang-penumpang yang baru tiba daripada negara yang merekodkan kes jangkitan tinggi.

China merekodkan 39 kes baru semalam, kata Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, susut daripada 46 kes sehari sebelum ini.

Semua kes itu membabitkan pengembara yang baru pulang dari luar negara, kebanyakannya merupakan penuntut China.

Shanghai merekodkan sebanyak 10 kes semalam, susut daripada 14 kes sehari sebelumnya, manakala Guangdong pula terdapat 7 kes jangkitan import, Fujian (4) dan Jiangsu (2).

Hebei, Zhejiang, Jiangxi, Shandong dam Sichuan masing-masing merekodkan satu kes, menjadikan kes import di China kepada 314.

Wuhan masih mengekalkan sifar kes buat hari kelima berturut-turut dan Huberi kini diklasifikasikan sebagai lokasi berisiko rendah koronavirus. – MalaysiaGazette