Bangunan Kementerian Pengangkutan Malayisa (MOT) di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Semua proses pembaharuan Lesen Memandu (CDL-Competent Driver’s License) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) hanya boleh dilakukan secara atas talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan, ia boleh dilakukan menerusi portal MySikap JPJ atau perkhidmatan portal MyEG (hanya untuk perbaharui LKM).

Orang awam yang tidak memiliki public/portal ID bagi mengakses portal MySikap JPJ boleh melaksanakan proses pembaharuan menerusi portal MyEG, katanya.

“Orang ramai yang telah memperbaharui CDL/LKM menerusi kedua-dua portal tersebut sepanjang tempoh PKP ini tidak perlu hadir ke kaunter untuk mendapatkan lesen memandu/pelekat LKM secara fizikal, sebaliknya bukti pembayaran fi CDL/LKM menerusi portal sudah memadai untuk digunakan sebagai bukti.

“Oleh yang demikian, orang ramai diminta untuk tidak tergesa-gesa atau resah bagi mendapatkan lesen memandu/pelekat LKM yang telah diperbaharui.

“Kebenaran ini hanyalah untuk kegunaan di sepanjang tempoh PKP sahaja. Orang ramai dikehendaki untuk mendapatkan pelekat LKM dan kad CDL sebaik sahaja perintah PKP ditarik semula,” katanya kenyataan.

Langkah tersebut diambil berikutan penutupan Pejabat Pos mulai 20 hingga 31 Mac ini setelah mengambilkira kesihatan awam dan kakitangannya yang berada di barisan hadapan.

Keputusan itu juga dibuat sejurus melihat kehadiran orang ramai ke kaunter jabatan dan agensi terbabit yang tidak dapat dikawal serta tidak selari dengan PKP yang bertujuan mengelakkan orang ramai daripada berhimpun.

Menurut kenyataan itu, menyedari kekhuatiran masyarakat, pihak kementerian tersebut turut mengadakan konsultasi dan perbincangan dengan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Takaful baru-baru ini bagi mempermudahkan urusan orang ramai sepanjang tempoh PKP ini.

“Seperti ketetapan undang-undang, semua pemilik kenderaan hendaklah memastikan kenderaan mereka mempunyai perlindungan insurans yang sah sepanjang tempoh PKP ini,” ujarnya.

Justeru itu, pembaharuan perlindungan insurans untuk kenderaan motor boleh dilaksanakan secara atas talian menerusi portal-portal syarikat insurans yang berkaitan. – MalaysiaGazette