Tengku Zafrul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan meluluskan potongan cukai bagi sumbangan dan derma dalam bentuk tunai dan barangan yang dibuat kepada Tabung COVID-19 sebagai penghargaan kepada rakyat Malaysia yang telah sama-sama membantu menangani wabak tersebut.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, sumbangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam bentuk ubat-ubatan, peralatan perubatan serta peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika ini sudah mencecah RM60 juta.

Pada 11 Mac lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Tabung COVID-19 yang disasar untuk membantu mangsa wabak berkenaan.

Selain itu, kerajaan juga katanya, telah meluluskan pengecualian duti import serta cukai jualan ke atas topeng muka bagi pasaran tempatan.

“Kerajaan mengambil berat kesukaran yang dihadapi oleh rakyat bagi mendapatkan bekalan topeng muka ekoran peningkatan permintaan yang mendadak.

“Semua pihak disarankan untuk membuat pembelian secara berpatutan dan mengikut keperluan bagi memastikan bekalan mencukupi untuk semua.

“Sehubungan dengan itu, bagi meningkatkan bekalan domestik, Kerajaan juga telah melaksanakan larangan eksport ke atas topeng muka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Tengku Zafrul, setakat 23 Mac 2020, pelaksanaan inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 sedang berjalan lancar.

Kerajaan juga katanya, sedang membuat persiapan bagi pelancaran inisiatif-inisiatif utama lain yang berkuatkuasa pada 1 April ini.

“Ini termasuk langkah penangguhan bayaran ansuran bulanan cukai pendapatan bagi industri pelancongan, pengurangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, serta pemberian diskaun bil elektrik.

“Berdasarkan peruntukan langsung Kerajaan sebanyak RM3.2 bilion yang disediakan di bawah PRE 2020, sehingga 23 Mac 2020, sebanyak RM1.7 bilion telah disalurkan kepada Kementerian dan agensi yang berkenaan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette