Barisan kakitangan UMAI yang menawarkan bantuan kepada pihak restoran menguruskan penghantaran, pembelian bawa pulang dan juga servis gift card melalui satu perisian program komputer.

KUALA LUMPUR – Baru-baru ini, satu syarikat, UMAI telah melancarkan sebuah produk perisian program komputer yang dapat membantu restoran menguruskan penghantaran, pembelian bawa pulang dan juga servis gift card di satu platform yang sama.

Bagi membantu pihak restoran dan kafe sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mematuhi keperluan pejarakan sosial, UMAI menyediakan servis kepada semua pengusaha makanan dan minuman dengan kos percuma bagi membantu kelangsungan perniagaan dan juga sebagai tanda sokongan dan solidariti kepada mereka.

Menurut Pengarah Urusan UMAI, Alexander Small, dengan adanya adanya perisian program komputer ini dapat memberi nafas baru kepada pengusaha makanan dan minuman dengan cara membantu mereka menguruskan pembelian bawa pulang, penghantaran dan servis gift card secara terus daripada laman sesawang
dan akaun media sosial mereka.

 

Perisian program komputer UMAI.

“Dalam masa yang sama, para pelanggan juga mempunyai pilihan yang pelbagai dalam bersama-sama membantu restoran-restoran kegemaran mereka.

“Ini adalah satu ujian buat industri ini. Pihak restoran dan kafe perlu lebih berinovasi dalam menjalankan perniagaan melalui pelbagai medium yang berbeza.

“Kami ingin menghulurkan bantuan kepada pengusaha makanan yang tidak mempunyai servis kemudahan pesanan dan pembayaran atas talian dengan menawarkan servis ini kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Perkhidmatan UMAI boleh dilayari di https://www.umai.io/takeaway-delivery-gift-cards-malaysia

Menurut Alexander, banyak restoran sedang mengalami waktu yang sukar akibat pandemik Covid-19 menjadikan pihaknya mencipta satu sistem untuk membantu kelangsungan perniagaan mereka dan membuat keputusan untuk menawarkan kepada mereka secara percuma.

Penjualan gift card dapat membantu pihak restoran menjana sumber pendapatan, manakala penghantaran dan pembelian bawa pulang membantu mereka
bagi meningkatkan pendapatan atas talian sepanjang tempoh PKP.- MalaysiaGazette