Shahril Hamdan
Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan perlu mengkaji semula kaedah pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 KWSP berjumlah maksimum RM500 sebulan selama 12 bulan yang bermula pada 1 April depan.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Sufian Hamdan berkata, tempoh permohonan itu perlu dipercepatkan bagi membantu rakyat yang terkesan akibat hilang pendapatan atau berkurangan disebabkan wabak Covid-19.

“Pihak KWSP telah memaklumkan bahawa pemindahan pengeluaran kepada akaun bank pemohon hanya akan bermula pada Mei, sedangkan ramai hilang pekerjaan atau mata pencarian terutama di sektor penerbangan, pelancongan, minyak dan gas dan lain-lain.

“Akhirnya pemohon perlu tunggu lebih dari sebulan selepas mula Ramadhan iaitu sebelum dapat terima dan menggunakan wang tersebut. Terlalu lambat.

“Maka, kerajaan perlu melihat semula proses ini dan sebaiknya memudahkan urusan pengeluaran wang tersebut,” katanya dalam hantaran terbarunya di Facebook miliknya, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat susulan penularan wabak Covid-19.

Ini termasuk membenarkan pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 KWSP berjumlah maksimum RM500 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan.

Dalam pada itu, Shahril juga berkata, tidak semua golongan yang memerlukan bantuan mendesak mempunyai caruman KWSP, terutamanya bagi golongan B40 dan luar bandar.

Katanya, tiada gunanya jika pengeluaran KWSP habis dibelanja untuk bayar hutang sedangkan tiada pendapatan bulanan.

“Kita sedia maklum moratorium hutang bank yang disuarakan sebelum ini sudah mula beroperasi tetapi hakikatnya proses itu masih boleh dipermudahkan.

“Masih ramai golongan B40 mendapat asakan dan desakan membayar hutang bank. Perlu ada dasar menyeluruh yang kreatif untuk memberi moratorium automatik kepada golongan tertentu,” katanya. – MalaysiaGazette