Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima sumbangan daripada MMC di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini menerima sejumlah RM5 juta bantuan bagi Tabung Covid-19 daripada pihak swasta.

Penyerahan sumbangan Tabung Covid-19 oleh sektor korporat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Perdana Putra, hari ini.

Sumbangan berjumlah RM2 juta disalurkan Spanco, dan masing-masing RM1 juta oleh DRB Hicom, MMC Berhad dan YTL Corporation Berhad.

Malah sejumlah 520,000 topeng muka turut disumbangkan Titijaya Land Berhad untuk kegunaan pasukan hadapan dalam membendung penularan Covid-19.

Jumlah terkumpul bagi tabung berkenaan adalah pada paras RM8.125 juta.

Tabung Covid-19 dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Mac lalu bertujuan untuk memberi bantuan kewangan kepada individu yang memerlukannya.

Tabung Covid-19 dan kutipan dana itu yang diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan digunakan untuk meringankan kos sara hidup seharian golongan terjejas yang terpaksa menjalani tempoh kuarantin.

Pada Jumaat lalu, Muhyiddin menerima sumbangan RM2 juta daripada Berjaya Group of Companies dan I Berhad untuk tabung Covid-19. – MalaysiaGazette