CTRM

KUALA LUMPUR – DRB-HICOM Berhad mengesahkan seorang kakitangan kumpulan itu yang bertugas di Composites Technology Research Malaysia (CTRM)  Batu Berendam Melaka disahkan positif Covid-19.

Rekod pergerakan menunjukkan beliau dijangkiti virus Covid-19 setelah menghadiri perkahwinan sepupunya di Putrajaya pada Sabtu, 7 Mac 2020.

“Pada 18 Mac, beliau diberitahu bahawa pasangan pengantin dan seorang sepupu yang lain telah disahkan positif Covid-19,” kata DRB-HICOM Berhad dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu menambah, kakitangan tersebut kemudiannya diperiksa di Hospital Melaka  dan ujian pertama mendapati beliau negatif Covid-19.

Bagaimanapun ujian kedua menunjukkan kakitangan tersebut positif Covid-19.

“Bagaimanapun kesemua ahli keluarganya (isteri dan dua orang anak) tidak menghidapi virus ini,” katanya.

Beliau kini dirawat di sebuah hospital, dan proses mengesan senarai hubungan kakitangan ini telah bermula, termasuk dikalangan rakan sekerja dan ahli keluarga beliau.

“Tempat kerja beliau telah dihadang dan pihak CTRM serta pihak berkuasa akan memulakan kerja pembersihan dan pembasmian kuman dalam waktu terdekat,” katanya.

Sementara itu, DRB-Hicom turut memaklumkan kes positif Covid-19 pertama di Kumpulan itu yang dilaporkan pada 18 Mac lalu di Pekan, Pahang ini beransur pulih dan ujian terbaru menunjukkan beliau bebas wabak tersebut.

Beliau perlu menjalani ujian kali kedua sebelum boleh disahkan pulih. – MalaysiaGazette