Reezal Merican mempengerusikan sidang video mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma Johor 2020 di KBS pada Rabu 25 MAC 2020.Foto: Ehsan KBS.

KUALA LUMPUR – Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 yang sepatutnya berlangsung tahun ini ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Turut ditangguh Sukan Para Sukma Johor 2020 dengan serta merta dengan mengambil kira keselamatan para atlet, pegawai dan kakitangan selain pihak berkepentingan yang terlibat langsung dalam temasya kali ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, keputusan itu diambil oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia selepas sebulat suara bersetuju untuk menangguhkan temasya kali ini berikutan ancaman Covid-19.

Dalam kenyataan media hari ini, ReezalĀ  telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia secara sidang video hari ini untuk membincangkan mengenai penganjuran SUKMA Johor 2020 ekoran ancaman wabak Covid-19 yang melanda negara kini.

“Sidang video tersebut telah disertai oleh semua Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia yang terdiri dari 14 Exco atau Menteri Belia dan Sukan Negeri (termasuk Johor selaku tuan rumah), Ketua Setiausaha Kementerian Belia & Sukan, Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara dan Sekretariat Sukan Malaysia Johor.

“Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia dengan sebulat suara telah bersetuju untuk menangguhkan SUKMA Johor 2020 ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

“Jawatankuasa telah membuat keputusan tersebut mengambilkira aspek yang paling utama iaitu keselamatan dan kesihatan atlet-atlet, jurulatih, pegawai dan semua yang terlibat dalam temasya tersebut,” kata beliau.

Tambah Ahli Parlimen Kepala Batas itu lagi, mesyuarat jawatankuasa sama juga telah mengenalpasti dua cadangan tarikh yang menjadi pilihan majoriti iaitu pada Disember 2020 ataupun dianjakkan ke tahun 2021.

“Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia juga bersetuju agar tarikh baharu akan diputuskan secepat yang mungkin pada mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia yang akan datang, selewat-lewatnya pada awal bulan Mei 2020.

“Selari dengan itu, saya juga telah mengarahkan Ketua Pengarah MSN dengan kerjasama Sekretariat Sukan Malaysia Johor untuk membuat penelitian yang komprehensif dengan mengambilkira maklumbalas daripada semua pemegang taruh merangkumi aspek-aspek kelayakan dan persiapan atlet, implikasi ke atas aktiviti promosi, pemasaran, program-program pra-SUKMA, penajaan, branding, liputan media, persiapan logistik, kemudahan pertandingan sukan spesifik dan lainlain aspek yang berkaitan untuk dilaporkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia akan datang,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu kata Reezal turut meminta Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Para Sukma Johor 2020 untuk mengambil tindakan serupa untuk menangguhkan temasya tersebut yang dijadualkan selepas Sukma Johor 2020.

“Mengenai perkembangan terkini Sukan Olimpik Tokyo 2020, saya mengalu-alukan keputusan IOC dan Jepun selaku penganjur untuk menangguhkan Sukan Olimpik Tokyo ke tahun 2021 mengambilkira situasi semasa Covid-19 dan atas kepentingan yang paling utama iaitu untuk menjaga keselamatan dan kesihatan atlet, pegawai dan semua yang terlibat.

“Dalam pada itu, KBS dan MOM akan bekerjasama rapat untuk meneliti implikasi-implikasi keputusan tersebut ke atas atlet-atlet dalam masa yang terdekat ini,” tegasnya lgi. – MalaysiaGazette