PUTRAJAYA – Daripada sejumlah 2,032 positif Covid-19, pesakit termuda melibatkan seorang bayi berusia 12 hari yang dilahirkan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada minggu lalu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, bayi tersebut merupakan mangsa gelombang kedua Covid-19.

“Bagi gelombang pertama, usia paling muda empat tahun, tetapi sekarang bayi berusia 12 hari disahkan positif Covid-19.

“Butirannya kita akan maklumkan kemudian,” katanya dalam sidang media di KKM, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai rawatan dan tarikh bayi tersebut disahkan positif.

Media sebelum ini melaporkan kanak-kanak berusia dua tahun, menjadi mangsa termuda positif Covid-19 di Kelantan.

Muhammad Fateh Aqil Mohd Nazmee yang sepatutnya menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), namun terpaksa menangguhkannya selepas ujian darah yang dilakukan mendapati kanak-kanak itu positif Covid-19.

Perkara itu didedahkan oleh Persatuan Sokongan Anak-Anak Kanser (Pesona) menerusi Facebook, semalam. – MalaysiaGazette