KUALA LUMPUR – Penjaja kecil yang berniaga tanpa lesen turut terkena tempias wabak Covid-19 sehingga pendapatan mereka terjejas.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi Pusat MIC (CWC) merangkap Pemangku Ketua Bahagian MIC Larut, Veeran Muniandy, beliau telah dihujani oleh puluhan panggilan telefon yang bertanyakan tentang insentif-insentif yang disediakan kerajaan Persekutuan mahupun negeri.

Kata Veeran, rata-rata mereka adalah golongan penjaja kecil seperti di gerai-gerai tepi jalan, di hadapan rumah serta pasar malam tanpa mempunyai sebarang dokumen mahupun lesen.

“Banyak juga pengumuman bagi membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perusahaan mikro dan koperasi yang terjejas dengan penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Institusi perbankan juga bertindak melonggarkan syarat pinjaman mudah, khususnya kepada peniaga kecil berikutan kelembapan ekonomi berikutan penularan COVID-19.

“Tapi bagaimana pula dengan usahawan kecil atau penjaja yang tiada lesen malah ada juga tiada mereka tiada akaun simpan kira-kira juga. Rata-rata golongan ini tidak lepas sebarang tapisan khasnya kerana ketiadaan dokumen.

“Saya terima panggilan telefon yang bertanya adakah mereka layak bagi kategori Penjaja Pasar Malam dan Peniaga Kecil di luar kawasan PB, adakah mereka boleh dapat insentif di umum oleh kerajaan.

“Saya fikir umumnya kerajaan sedar tentang isu ini malah sangat bersimpati dengan golongan ini, masalah utama kerajaan adalah kerana tiada sebarang ‘database’ untuk membantu golongan ini.

“Jadi saya ingin syor seandainya pihak PBT da agensi lain termasuk pemimpin tempatan diberi kebenaran mendaftarkan golongan ini ketika berdepan musibah seperti ini, jadi senang sikit untuk kerajaan bantu mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.

Kata Veeran lagi, mungkin kerajaan boleh gunakan juga maklumat yang ada pada Pendaftaran Syarikat (ROC) namun ramai juga tidak berdaftar.

“Saya ada sedikit pengalaman yang mana ketika uruskan bencana seperti banjir besar sebelum ini terutamanya di Perak dahulu. Masalah ini bukan sesuatu yang baharu tetapi apabila berlaku semua ini, antara terjejas teruk adalah golongan ini.

“Golongan ini juga akan memerlukan modal selepas ini untuk mulakan kembali perniagaan kecil mereka ini, kalau ada simpanan sekalipun mungkin akan habis ketika waktu kritikal ini. Malah tidak semua ini ada simpanan EPF.

“Peluang pinjaman mikro kredit perlu dibuka seluas-luasnya kepada yang memerlukan, selepas perintah PKP ini berakhir, pastinya satu cabaran amat besar untuk mereka mulakan kembali bagi meneruskan kehidupan mereka.

“Saya juga ingin cadangkan kepada kerajaan untuk tangguh dahulu projek-projek pembangunan dan memberi tumpuan fokus utama dalam membantu memulihkan keadaan ekonomu warga B40 dan E-Kasih ini terlebih selepas ini, hakikatnya kumpulan ini sangat memerlukan perhatian,” ujarnya.

Dalam pada itu, Veeran juga berharap supaya penangguhan bayaran diumumkan Bank Negara Malaysia itu tidak terkecuali kepada peniaga kecil walaupun mereka mempunyai rekod pembayaran yang buruk sebelum ini.

“Mesti ada juga ada rekod buruk bayaran balik pinjaman kerana mereka bergantung kepada pendapatan, justeru pasti ada yang tertunggak lebih empat hingga lima bulan.

“Ada juga peniaga kecil tiada simpanan KWSP, jika ada hanya ada di dalam akaun satu sahaja kerana sebahagiannya mengeluarkan untuk pembelian rumah menerusi akaun dua.

“Semoga kerajaan mempertimbangkan untuk membolehkan mereka menggunakan akaun satu, semoga berita baik menanti golongan ini,” jelasnya. –MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.