Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican diringi timbalannya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyerahkan topeng mulut dan hidung kepada sebahagian penunggang penghantar makanan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Sebagai tanda prihatin, Majlis Belia Malaysia (MBM) telah mengedarkan 500 kit melibatkan topeng muka dan cecair pembasmi kuman kepada golongan penghantar makanan di sekitar bandar raya ini.

Ketua Penerangan MBM, Wan Mohd. Husni Abdullah berkata, program dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan itu bertujuan menyatuni golongan yang masih keluarga bekerja untuk mencari rezeki.

Namun jelasnya, kesedaran perlu diberikan kepada mereka agar menjaga kesihatan dan keselamatan di sebalik penularan wabak Covid-19 yang semakin serius.

“Kebanyakan penghantar makanan adalah golongan yang boleh disifatkan pasukan barisan hadapan kerana mereka masih bekerja untuk mencari pendapatan harian.

“MBM perlu menyatuni mereka dan paling penting apa yang mereka lakukan, keselamatan dan kesihatan mesti menjadi keutamaan mereka,” katanya.

Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia, Wan Mohd Husni Abdullah bercakap kepada media selepas menyerahkan topeng mulut dan hidung kepada sebahagian penunggang penghantar makanan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 MAC 2020

Beliau berkata demikian kepada pihak selepas program pengagihan kit topeng muka dan cecair pembasmi kuman oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di ruang parkir di Sunway Putra Mall di sini hari ini.

Selain seramai 80 penghantar makanan, kit tersebut turut diagihkan kepada golongan gelandangan di sekitar Pudu.

Mengulas lanjut, Wan Mohd. Husni berkata, program yang sama akan menjelajah seluruh negara dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat untuk mencegah wabak Cobid-19 itu.

Jelas beliau, MBM akan terus membantu kerajaan untuk memberi kesedaran kepada orang agar tinggal di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Bagi yang terpaksa bekerja, patuhi arahan kesihatan yang sedia ada,” katanya. – MalaysiaGazette

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyerahkan topeng mulut dan hidung kepada sebahagian penunggang penghantar makanan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 MAC 2020