Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berjalan ke sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 26 MAC 2020

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata rakyat di negara ini selamat untuk menderma darah walaupun terdapat penularan wabak Covid-19.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai prosedur yang ketat dalam memastikan aktiviti derma darah dapat dijalankan dengan baik dan teratur.

“Selamat, apa pula tidak selamat derma darah. Itu bukan jangkitan. Jadi kalau ikutkan prosedur yang telah sedia ada, kita akan nyahkuman dan baru kita ambil darah,” katanya dalam sidang media di KKM, hari ini.

Ditanya sama ada bekalan darah mencukupi pada saat-saat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, Noor Hisham berkata bekalan darah mencukupi.

“Setakat ini KKM sudah periksa bahawa stok darah mencukupi tetapi kita galakkan mereka datang dan derma datang contohnya datang ke hospital ataupun ke dua pusat kami di Putrajaya dan Mid Valley.

“Kita juga ada perkhidmatan bas ke kawasan komuniti kalau ada permintaan yang tinggi untuk derma darah,” katanya lagi.

Selasa lalu, Noor Hisham berkata petugas kesihatan akan digerakkan ke rumah dan kediaman untuk mengambil darah penderma bagi menampung kekurangan bekalan tabung darah ketika ini.

Bagaimanapun, beliau menggalakkan orang ramai yang ingin menderma supaya menghubungi talian hotline KKM bagi berbuat demikian. -MalaysiaGazette