Jumlah perdagangan Malaysia pada April 2018 meningkat 11.7 peratus tahun ke tahun kepada RM155.42 bilion berbanding penurunan sebanyak 3.5 peratus pada Mac, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia telah menerima satu petisyen daripada NS Bluescope Malaysia Sdn. Bhd. mewakili pengeluar tempatan bagi memulakan siasatan anti-lambakan ke atas pengimportan produk gulungan rata keluli bukan aloi yang disadur atau disalut dengan aluminium dan zink (dagangan subjek) yang berasal atau diimport dari China , Korea dan Vietnam.

Pempetisyen mendakwa bahawa dagangan subjek yang berasal atau diimport dari China, Korea dan Vietnam dibawa masuk ke Malaysia pada harga yang lebih rendah daripada harga jualan di pasaran domestik negara-negara tersebut.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, pempetisyen mendakwa bahawa lambakan import dari negara-negara tersebut telah meningkat dari segi jumlah kuantiti mutlak dan telah mengakibatkan kemudaratan material kepada industri tempatan.

Kerajaan telah menilai dan mempertimbangkan bukti-bukti prima facie bagi lambakan dan kemudaratan serta hubungkait di antara kedua-duanya dan memutuskan untuk memulakan suatu penyiasatan anti-lambakan ke atas import produk gulungan rata keluli bukan aloi yang disadur atau disalut dengan aluminium dan zink dari China, Korea dan Vietnam.

Selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan, 1993 dan Peraturan yang berkaitan, suatu penentuan awal akan dibuat dalam tempoh 120 hari daripada tarikh permulaan siasatan.

Sekiranya penentuan awal didapati afirmatif, maka kerajaan akan mengenakan duti anti-lambakan sementara mengikut kadar yang ditetapkan untuk menghalang kemudaratan yang berterusan kepada industri tempatan.

Sehubungan itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengedarkan borang soal selidik kepada pihak berkepentingan (pengimport, pengeluar asing, pengeksport dan persatuan-persatuan).

Katanya, pihak berkepentingan yang lain boleh juga mendapatkan borang soal selidik tersebut selewat-lewatnya
pada 3 April 2020 dengan menulis kepada alamat di bawah.

Mereka juga boleh memberi pandangan dan bukti tambahan bagi menyokong siasatan ini secara bertulis kepada MITI selewat-lewatnya pada atau sebelum 17 April 2020.

Sekiranya tiada respons atau maklumat tambahan diterima dalam tempoh yang ditetapkan, pihak kerajaan boleh membuat penentuan awal berdasarkan fakta-fakta yang sedia ada.

Permohonan bagi borang soal selidik dan sebarang maklumat lanjut mengenai penyiasatan ini boleh didapati dengan menghubungi Seksyen Amalan Perdagangan MITI melalui [email protected]. – MalaysiaGazette