Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Keseluruhan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau Prihatin berjumlah RM250 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai sederhana dan tidak begitu mengejutkan.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, ini kerana sebahagiannya mengikut kiraan atas kertas adalah disebabkan pengecualian tertentu seperti sewa cukai penangguhan dan sebagainya.

Katanya, tidak ada “Wow Factor”, namun boleh dikira sebagai lebih baik ada daripada tidak ada langsung.

“Pemberian one-off kepada golongan pendapatan bawah RM4,000 sebanyak RM1,600 tidak memadai. Hanya beza RM600 berbanding yang berpendapatan RM4,000 ke RM8,000.

“Sepatutnya golongan pendapatan bawah RM4,000 boleh dipecahkan kepada tiga golongan pendapatan iaitu RM2,000 ke bawah, RM2,001 hingga RM3,000 dan RM3,001 hingga RM4,000.

“Bagi yang berpendapatan RM2,000 ke bawah sewajarnya diberi RM3,000, manakala berpendapatan RM2,001 ke RM3,000 pula diberi bantuan RM2,000 dan berpendapatan RM3,001 ke RM4,000 menerima bantuan RM1,600,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhyiddin ketika mengumumkan pakej Prihatin menyatakan, peruntukan itu disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan memperkukuhkan ekonomi negara.

Katanya, kerajaan juga akan meningkatkan elaun khas kepada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan wabak Covid-19.

Menurut Dr. Ibrahim, bagi golongan berpendapatan bawah RM2,000 dan RM3,000 jika diberi bantuan hanya RM1,600, ibarat satu sudu air dalam cawan.

Jumlah itu, kata beliau, tidak mampu melepasi dahaga atau keperluan tanggungannya atau setidak-tidaknya hilang kering ditekak kalau tidak basah sepenuhnya.

“Putra merayu dan mencadangkan dipertimbangkan semula agihan bagi golongan B40 atau pendapatan bawah RM4,000, iaitu dipecahkan kepada tiga golongan, di mana golongan isi rumah pendapatan bawah RM2,000 diberi one-off sebanyak RM3,000.

“Dalam soal pelaksanaannya juga amat penting supaya tidak ada ketirisan dan biokrasi.

“Sebelum ini banyak rungutan kerana ada yang dinafikan hak untuk menerima BRIM dan selepas itu ditukar kepada BSH oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan pelbagai alasan,” katanya.

Beliau menjelaskan, pengumuman itu hanya indah khabar dari rupa bagi setengah pihak dan Putra mencadangkan kerajaan bersetuju mengiktirafkan agar dibentuk Jawatankuasa Petugas Aduan Awam dalam kalangan wakil NGO bagi penerima one-off untuk memastikan tidak ada seorang pun berhak dinafikan pemberian itu.

Ujar beliau, mana-mana pihak yang gagal dan dinafikan haknya boleh membuat aduan kepada jawatankuasa berkenaan yang bebas daripada pengaruh politik dan kakitangan awam.

“Ibarat kata, biarlah pelaksanaan sama bagus atau setara dengan dasar diumumkan.

“Lain-lain perkara yang diumumkan dalam pakej Prihatin nanti, Putra ingin mengambil sikap tunggu lihat pelaksanaannya dahulu sebelum memberi reaksi dan maklum balas dari petani, nelayan, buruh, kakitangan awam, usahawan, syarikat dan sebagainya.

“Putra adalah parti yang tidak beremosi dengan menang sorak kampung tergadai atau bunyi guruh di langit air di tempayan dicurahkan. Pengalaman lalu kita jadikan sebagai  sempadan. Budaya cium tangan dahulu sudah berakhir,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Banyak bunyi pula si katak ni.. kau ambil shj e-wallet rm30 tu sudah lah,dduk diam2.. “wow factor” yg kau jangkakan itu sudah di cekik oleh goon eng dan rakan2 tapi kau senyap tak berbunyi pula..

Comments are closed.