SINGAPURA/SYDNEY- Singapore Airlines Ltd. berjaya memperoleh dana sebanyak S$19 bilion (AS$13 bilion) untuk membantu syarikat tersebut mengharungi krisis Covid-19 yang semakin berlanjutan.

Di saat kebanyakan syarikat penerbangan seluruh dunia sedang mencari dana untuk terus bertahan semasa krisis ini, pemegang saham majoriti Singapore Airlines, Temasek Holdings bersetuju untuk menaja jamin jualan saham dan bon boleh tukar sehingga S$15 bilion.

Manakala bank terbesar Singapura, DBS Group Holdings Ltd. menyediakan pinjaman sebanyak S$4 bilion.

“Urusniaga ini bukan sahaja melegakan Singapore Airlines dalam menghadapi cabaran kecairan jangka pendek tetapi mampu mengukuhkan kedudukannya selepas pandemik berakhir.

“Penghantaran pesawat-pesawat generasi baharu yang mempunyai keberkesanan bahan api dalam tempoh beberapa tahun akan datang mampu memenuhi kapasiti strategi perkembangan syarikat,” kata Ketua Eksekutif Antarabangsa Temasek, Dilhan Pillay Sandrasegara.

Buat masa ini, Singapore Airlines yang merupakan pelanggan utama Airbus SE dan Boeing telah mengurangkan kapasitinya sebanyak 96 peratus dan merehatkan kesemua pesawat-pesawatnya selepas kerajaan Singapura mengeluarkan larangan terhadap transit penumpang asing.-MalaysiaGazette