Hishammuddin Hussein

PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia yang masih berada di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) diminta pulang segera sebelum kedua-dua negara itu mengenakan perintah berkurung (lockdown) bila-bila masa.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, masih ramai rakyat Malaysia berada di kedua-dua negara itu dan mereka masih boleh pulang tanpa masalah kerana syarikat penerbangan komersil AS dan UK masih beroperasi.

Katanya, untuk berharap kerajaan Malaysia menanggung segala kos penerbangan membawa pulang itu sebenarnya sukar apatah lagi membabitkan jumlah peruntukan begitu besar sehingga mencecah sehingga RM50 juta.

“Duit sebanyak itu sebenarnya kita sudah boleh gunakan untuk membeli bahan perubatan bagi wabak Covid-19 kerana ketika ini, itu lebih penting.

“Sekiranya mereka yang berada di AS dan UK ini pulang dengan duit mereka sendiri, kerajaan boleh manfaatkan dana itu untuk perangi Covid-19 jadi fikirkanlah.

“Lagipun ketika ini anda masa masih lagi berupaya pulang kerana belum lagi ada arahan lockdown, jadi masih boleh pulang. Seandainya itu sudah dikuatkuasakan, maka kita juga akan hadapi masalah bawa pulang anda sekelian kerana melibatkan hubungan diplomatik (G-G).

“Kita perlukan hubungan diplomatik cukup baik dari sesetangah kerajaan itu sebelum dapat kebenaran untuk bawa pulang ke tanah air. Kita perlu kebenaran mendarat dan sebagainya, semua itu bukan sesuatu yang mudah,” katanya

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan bantuan bekalan perubatan oleh China yang diserahkan oleh Duta China ke Malaysia, Bian Tai di Wisma Putra tadi.

Hishammuddin juga memberikan contoh bagaimana baru-baru ini pihaknya membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di India dan Bangladesh.

Pihaknya telah mendapat bantuan penajaan dari  MIC yang juga merupakan parti terbesar masyarakat India di negara yang diterajui oleh Tan Sri SA Vigneswaran.

“MIC ada tampil membantu membawa balik rakyat Malaysia yang terkandas di kedua-dua negara ini.

“Selain itu, ada juga sekumpulan ibu bapa yang memaklumkan kepada saya mereka akan membayar kos dan mengumpul dana untuk membawa balik anak-anak mereka dan hanya memerlukan kita untuk membantu bercakap dengan kerajaan negara itu.

“Itulah yang sebaiknya, tolong bantu antara satu sama lain. Kita sedang hadapi satu krisis yang sangat penting ketika ini,” tegasnya.

Proses membawa balik rakyat Malaysia yang terkandas adalah tertakluk sama ada negara terbabit masih membenarkan operasi pesawat komersial atau sebaliknya. –MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Macam mana nak balik tuan, yuran belajar dah bayar, sewa kediaman pun dah bayar sampai bulan 8, tmpat belajar pun dah tutup 3 bulan. Tapi belajar continue sume masih on-line tak mcm mesia. Kalau balik kena tambang nanti kalau kena balik sini kena tambang lagi, Ada bugget tambang pun utk last balik je lepas abis belajar. Kita org ikut kata institut, kalau semester delay/ cancel baru balik. Kalau org melancung boleh bayarkn tambang , takkan org ‘keperluan’ menuntut ilmu tak dpt support. kita ic mesia agama Islam.

  2. Sekarang ini janganlah pikir kepentingan diri sendiri sahaja. Kalau sampai kena charter pesawat nak bawak balik anda semua, kos korang sorang boleh guna buat berubat 20 orang. Itu maksudnya.
    Kerajaan tolong jangan manjakan puak puak ini. Pandai pergi, pandai pandailah balik. Itulah risiko keluar negeri dan belajar luar negeri.
    Jangan manja sangat, zaman aku kat Australia dulu, cuti term aku kerja. Simpan untuk bayar visa sendiri. Sampai kerja kat restoran tak halalpun pernah. Tiap tiap malam kena samak. Belajar lah berdikiari dan menabung. Ini bila dapat scholarship korang joli katak. Jangan pikir senang je

Comments are closed.