Reezal Merican Naina Merican
Reezal Merican Naina Merican

KUALA LUMPUR – Seramai 48 atlet Malaysia termasuk profesional dan di bawah persatuan sukan yang kini di luar negara berada dalam baik dan selamat daripada kes Covid-19, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Menurutnya, kesemua atlet negara kini berada di 13 buah negara iaitu 15 orang di Thailand, Amerika Syarikat (12), Australia (7), Jerman (3), UK (2), Jepun (2) manakala Kanada, Sweden, Perancis, Switzerland, Singapura, Chinese Taipei dan Indonesia masing-masing terdiri daripada seorang atlet.

Daripada jumlah atlet tersebut, katanya, seramai 25 orang terlibat dalam Program Podium iaitu sukan renang, berbasikal, olahraga, Muay Thai dan golf manakala 23 orang di luar Podium iaitu lawan pedang, hoki ais, bola sepak, luncur ombak, mendayung, skating, golf, skate board dan ragbi.

“Antara sebab atlet-atlet tersebut masih berada di luar negara adalah seramai 16 orang sedang mengikuti pengajian tinggi dan bersekolah, sembilan mewakili kelab luar negara sebagai atlet profesional, 15 atlet mengikuti latihan atau pertandingan, tujuh adalah pemastautin tetap dan seorang bercuti.

“Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan-Persatuan Sukan masing-masing telahpun berhubung dengan atlet-atlet tersebut untuk mengetahui perkembangan dan keadaan mereka dan juga telah menasihati mereka agar mematuhi perintah dan arahan yang dikuatkuasakan di negara masing-masing,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Reezal Merican,  Institut Sukan Negara (ISN) juga akan terus memantau latihan dan laporan perkembangan atlet Program Podium antaranya melalui teknologi seperti jam pintar dan kaedah atas talian serta menasihati jurulatih dan atlet untuk membuat pengubahsuaian terhadap program latihan.

Menurutnya, penguabahsuaian itu penting dan dilaksanakan untuk mengekalkan kecergasan, fokus serta motivasi atlet negara mengikut kesesuaian di negara masing-masing.

Bagaimanapun,jelasnya keadaan wabak Covid-19 di luar negara mungkin berubah dan pihaknya sentiasa memantau perkembangan dan keperluan serta bersedia untuk membantu atlet Malaysia di luar negara untuk pulang ke tanahair sekiranya keadaan memerlukan.

“Di samping itu, atlet-atlet Malaysia mahupun atlet persendirian, persatuan dan keluarga mereka adalah dinasihatkan juga untuk berdaftar dan berhubung dengan Kedutaan Malaysia atau Pejabat Konsulat Malaysia yang berdekatan untuk tujuan perkembangan dan laporan terkini dan juga sekiranya ada sebarang keperluan kecemasan.

“Menteri Luar Negeri Malaysia juga telah menasihati agar rakyat Malaysia yang berada di dua negara iaitu Amerika Syarikat dan United Kingdom untuk membuat perancangan awal untuk balik ke Malaysia sebelum kedua-dua negara tersebut melaksanakan lockdown dan semua penerbangan komersial mungkin diberhentikan,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette