Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bantuan kewangan yang diberi kerajaan bagi mengurangkan beban rakyat dan perniagaan masih diperlukan selepas wabak COVID-19 berakhir.

Menurut Dewan Perdagangan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), proses pemulihan pasca wabak itu mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya enam hingga 12 bulan sebelum rakyat dan perniagaan kembali stabil.

Selain itu, program subsidi upah yang diperuntukan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat sepatutnya diberikan satu jumlah yang lebih besar dan tidak bersyarat, ujarnya.

“Syarikat-syarikat besar dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ketika ini sedang bergelut dengan kejatuhan jualan, pendapatan dan keuntungan disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah NCCIM, syarikat-syarikat yang sebelum ini pun sudah menderita akibat kemerosotan jualan bakal berdepan masalah aliran tunai.

Ini terutamanya perniagaan-perniagaan yang tidak terlibat dalam perkhidmatan penting dan terpaksa ditutup semasa PKP.

Jelas kenyataan itu, syarikat-syarikat yang mempunyai kedudukan kewangan yang baik sekali pun mungkin tidak kalis cabaran kali ini yang mana semuanya bergantung kepada progres situasi dan berapa lama tempoh diperlukan untuk kembali seperti sediakala.

Dengan itu, NCCIM merayu supaya kerajaan turut menyediakan sokongan pasca COVID-19 kerana menurutnya, syarikat-syarikat yang terpaksa menanggung beban kewangan yang teruk mungkin terpaksa memberhentikan pekerja. – MalaysiaGazette