Belarus meneruskan Liga bola sepak domestik ketika hampir semua liga domestik di serata dunia dihentikan ekoran penularan virus Covid sejak 18 Mac lalu.

MINSK – Semua aktiviti sukan dihentikan di seluruh dunia akibat pandemik Covid-19, namun di Balarus liga bola sepaknya diteruskan.

Sebanyak enam perlawanan Liga Belarus berlangsung pada Sabtu lalu, dengan kehadiran 3,000 penonton.

Ia melibatkan perlawanan antara FC Minsk dan Dinamo Minsk di ibu negara yang menyaksikan Dinamo Minsk tewas 3-2 kepada pencabarnya.

Hanya 100 kes positif Covid-19 dilaporkan setakat ini dan tiada kes kematian direkodkan di negara berpopulasi 9.5 juta orang.

Kebanyakan negara di Eropah mengkuarantin penduduk masing masing dan menutup pintu sempadan masing-masing.

Bagaimanapun Presiden Belarus, Alexander Lukashenko tidak bimbang dengan keadaan pandemik yang sedang mengancam dunia.

Sebaliknya beliau mencadangkan mengambil minuman keras, vodka, untuk memerangi virus itu.

Jurucakap Persekutuan Bola Sepak Belarus berkata, pihaknya telah mengambil langlah berjaga-jaga dan meneruskan aksi liga domestik di negara tersebut.

“Kita sudah mengambil langkah yang disyorkan oleh Kementerian Sukan dan penyokong dibekalkan dengan sarung tangan,” katanya. – MalaysiaGazette