Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bagi memastikan pembayaran gaji pekerja sektor swasta dapat dibayar mengikut ketetapan undang-undang, kerajaan membenarkan kakitangan Bahagian/Unit Kewangan/Sumber Manusia hadir ke tempat kerja.

Kebenaran itu membolehkan kakitangan terlibat menjalankan urusan kerja yang spesifik iaitu menyelaras dan memproses pembayaran gaji.

Kebenaran itu dibenarkan bagi tempoh satu hari sahaja sama ada pada 31 Mac ini atau 1 April ini, jumlah maksimum dibenarkan adalah dua orang sahaja, kata Kementerian Sumber Manusia.

Majikan diminta untuk menyediakan surat/dokumen pelepasan dan kebenaran untuk ke tempat kerja yang melibatkan kakitangan kewangan/sumber manusia dengan menyenaraikan nama penuh, no. kad pengenalan pekerja yang terlibat
serta nombor telefon majikan/pegawai untuk dihubungi bagi tujuan pengesahan.

Pekerja terbabit perlu membawa dan mengemukakan surat/dokumen tersebut bagi memudahkan pergerakan mereka ke tempat kerja sekiranya diminta oleh pihak berkuasa. – MalaysiaGazette