Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal foto FAREEZ FADZIL, 22 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Berani keluar dengan alasan remeh maka bersediah untuk ditangkap polis dan dihukum di mahkamah.

Itu mesej tersirat yang diberikan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal kepada orang ramai yang suka berlegar di atas jalan raya tanpa alasan munasabah.

Sebelum itu, pihaknya telah menahan seramai 13 individu dalam sekatan jalan raya Op Covid-19 pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa kawasan dalam daerah Petaling Jaya.

Kesemua individu itu adalah berusia antara 15 hingga 57 tahun dicekup dalam tujuh tangkapan yang diadakan semalam dan hari ini.

Tangkapan pertama dan kedua pada jam 12.20 hingga 12.35 tengahari dalam sekatan jalan di Lebuhraya Persekutuan menuju ke Shah Alam melibatkan dua lelaki berusia 57 tahun dan 52 tahun yang memberi pelbagai alasan tidak munasabah mengenai tujuannya ke Shah Alam.

“Tangkapan ketiga tarikh yang sama jam 6 petang pasukan IPD Petaling Jaya menahan seorang lelaki warga tempatan dan dua lagi lelaki warga Indonesia berusia antara 31 hingga 36 tahun atas kesalahan berkumpul di hadapan taman permainan hadapan Blok R, Pangsapuri Sri Meranti, Persiaran Meranti PJU9 Bandar Sri Damansara.

“Tangkapan keempat sekitar jam 6.30 petang pula melibatkan dua lelaki remaja berusia 15 dan 16 tahun yang tidak mengendahkan arahan diminta beredar oleh polis sebelum discekup di tepi Jalan Masjid Kayu Ara Damansara.

“Di lokasi tepi jalan Masjid Kayu Ara Damansara juga dua lagi lelaki berusia 16 dan 24 tahun ditahan sekitar jam 8.50 malam dalam tangkapan kelima atas alasan yang sama,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Ezanee, polis meneruskan operasi pemantauan di daerah itu dan hasilnya berjaya melakukan tangkapan keenam sekitar jam 9.30 malam.

Tangkapan berkenaan, katanya, melibatkan tiga lelaki warga Indonesia berumur antara 22 dan 23 tahun kerana gagal memberi alasan munasabah mengenai pergerakan mereka dalam sekatan di jalan raya Tol Subang menghala keluar dari Petaling Jaya.

“Dalam tangkapan ketujuh pada Isnin 30 Mac lalu pada jam 1.30 pagi, seorang lelaki berusia 16 tahun ditahan di bawah blok 4, Desa Mentari Petaling Jaya dicekup kerana keluar dari rumah tanpa sebab munasabah.

“Kesemua tangkapan ke atas 13 orang dalam tempoh 24 jam itu disiasat di bawah Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-dua sekali.

“Justeru pihak polis menggesa orang ramai agar patuh kepada perintah PKP dan tidak mengambil remeh tentang perkara tersebut.Sila duduk di dalam rumah dan keluar sekiranya ada keperluan mendesak,” tegas beliau sambil mengharapkan tahap pematuhan arahan PKP meningkat kepada 90 peratus.-MalaysiaGazette