Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terhadap Menara City One, di Jalan Munshi Abdullah di sini.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia ekoran terdapat 17 kes positif jangkitan Covid-19 direkodkan di kawasan itu.

“Mengambil kira jumlah kes tersebut, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan arahan ketiga PKPD.

“PKPD ini melibatkan 3,200 orang penghuni di 502 unit kondominium dan premis perniagaan di menara itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perintah itu akan berkuatkuasa mulai esok sehingga 13 April depan.

Menurut Menteri Pertahanan itu, tujuan PKPD dilaksanakan di kawasan itu adalah untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar.

Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari unit ke unit dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari, katanya.

“Dengan pelaksanaan perintah ini, semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

“Bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan. Semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan (essentials) di menara tersebut,” jelas Ismail Sabri lagi.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, penghuni boleh membuat pesanan makanan yang boleh dihantar di lobi keselamatan pintu utama menara.

Malah Pangkalan Perubatan juga akan dibuka di kawasan tersebut.

Dengan perkembangan itu, semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup. -MalaysiaGazette