Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja CIMB Group Holdings Bhd. (CIMB Group) yang berpangkalan di pusat panggilan CIMB, Menara Southern Bank (MSB) dekat sini disahkan positif COVID-19.

Pekerja tersebut sedang mendapat rawatan di sebuah hospital kerajaan manakala penjejakan kontak masih dijalankan yang mana kontak rapat sedang menjalani kuarantin di rumah sehingga diberikan kebenaran oleh petugas kesihatan.

Kumpulan perbankan itu dalam satu kenyataan berkata, pusat panggilan tersebut telah pun ditutup bagi menjalani proses pembersihan dan sanitasi.

“Pusat-pusat panggilan kami yang lain masih beroperasi bagaimanapun penutupan sementara MSB dijangka memberi impak kepada jumlah panggilan yang perlu dilayan pagi ini.

“Dengan itu, kami memohon kerjasama daripada semua pelanggan untuk memahami situasi ini dan dalam masa yang sama kami akan terus bekerja keras untuk memastikan pusat panggilan tersebut beroperasi secepat mungkin.

“Dalam pada itu, kami meminta semua pelanggan untuk melayari www.cimb.com.my/covid19support bagi mendapatkan set soalan lazim bagi pakej-pakej bantuan kewangan berkaitan wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.- MalaysiaGazette