Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Warga Labuan yang menetap di perumahan awam milik Perbadanan Labuan (PL) dikecualikan bayaran sewa selama enam bulan bermula Mac hingga Ogos 2020.

Kadar bayaran sewa rumah yang diberi pengecualian ini bermula daripada RM150 hingga RM650 sebulan mengikut kategori melibatkan 546 keluarga dengan kos keseluruhan berjumlah RM933,210.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia merupakan penyelarasan dan penambah inisiatif baru bagi kluster ketiga inisiatif Wilayah Cakna khusus untuk penduduk Labuan.

Selain itu, seramai 774 penjaja dan peniaga kecil yang berlesen turut dikecualikan bayaran sewa premis niaga meliputi Pasar Sentral Labuan (UTC), pasar malam, pasar tani, medan selera dan lot-lot kedai milik PL selama enam bulan bermula Mac 2020.

Ia membabitkan kos keseluruhan bagi bayaran sewa premis niaga ini adalah berjumlah RM1,036,110.

Sementara itu, sejumlah 1,300 penjaja dan peniaga kecil diberi bantuan sara hidup sebanyak RM500 secara one-off membabitkan bantuan sara hidup berjumlah RM650,000.00.

Golongan asnaf dan berpendapatan rendah pula akan menerima 600 kit bantuan makanan, kebajikan dan kesihatan yang berjumlah RM50,000 bagi warga Labuan yang terkesan seperti nelayan, petani, pengusaha bagang, pengusaha bubu, dan penternak dan penambahan 1,200 kit bantuan makanan oleh PL dan Jabatan Kebajikan Masyarakat WP Labuan selepas menerima permohonan tambahan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Labuan.

Tambahnya, bantuan lain-lain termasuk pembelian mesin bantuan pernafasan kepada Hospital Labuan untuk kegunaan
pesakit di ICU oleh pihak MAIWP dan penyediaan Pusat Kuarantin Tambahan di Institut Latihan Perindustrian Labuan
untuk menempatkan pesakit dan patient under investigation (PUI).

Operasi menyahkuman juga telah dilaksanakan pada hari ini di semua kawasan awam sekitar pulau Labuan dalam usaha kerajaan memutuskan rantaian penularan virus Covid-19 dengan lokasi pertama aktiviti pembersihan ini bermula dari Pasar Sentral Labuan (UTC).

Sehingga hari ini, kata Annuar, bilangan kes positif Covid-19 di Labuan adalah seramai 10 orang dan 2 pesakit telah pulih. – MalaysiaGazette