BARCELONA – Gergasi La Liga, Barcelona dilaporkan telah memotong sebanyak 70 peratus gaji pemainnya dalam usaha menangani isu kewangan ketika krisis COVID-19 melanda seluruh dunia.

Pemain utama seperti Lionel Messi dan Luis Suarez mengesahkan pemotongan gaji itu menerusi kenyataan di laman media sosial mereka hari ini.

Kenyataan itu mengumumkan bukan sahaja 70 peratus gaji mereka dipotong namun semua pemain akan membuat sumbangan bagi memastikan kakitangan kelab mendapat 100 peratus gaji mereka sehingga situasi ini berakhir.

Messi kini mendapat gaji tahunan setinggi 72.5 juta pound (RM390 juta) namun pemotongan gaji selama tiga bulan ini membolehkan Barcelona berjimat sekitar 13 juta pound (RM70 juta).

Difahamkan sebelum ini, perbincangan antara lembaga pengarah dan pemain telah mendapatkan kata putus apabila pemain tersebut dilaporkan hanya bersetuju dengan 50 peratus pemotongan namun perkembangan terbaru membuktikan sebaliknya. – MalaysiaGazette