Gambar hiasan

SIMPANG RENGGAM – Makanan kucing dan rokok merupakan antara barang yang diminta penduduk Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid di Simpang Renggam yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatakan.

China Press melaporkan, Jabatan Kebajikan Masyarakat bagaimanapun tidak dapat memenuhi permintaan penduduk berkenaan kerana apa yang diminta bukanlah barang keperluan asas.

Jabatan Kebajikan Masyarakat Kluang sebaliknya meminta perokok yang berdepan “kekurangan stok” kerana tidak dapat membeli rokok dalam tempoh kawalan pergerakan supaya mengambil peluang untuk membuang tabiat merokok yang tidak sihat.

Jurucakap jabatan itu juga menafikan bahawa penduduk berdepan masalah kekurangan bekalan barangan keperluan harian.

Jelasnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat bersama Jabatan Pertahanan Awam telah menghantar bekalan ke dua kampung yang kini “ditutup” itu.

“Bekalan akan diletak dalam dewan Majlis Daerah Simpang Renggam dulu dan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan melakukan pengagihan mengikut jumlah orang dalam keluarga,” katanya.

Tinjauan wartawan pula mendapati jalan-jalan kecil ke dua kampung itu juga telah ditutup polis untuk mengelakkan penduduk kampung menyelinap keluar.

Sementara itu, Nanyang Siang Pau melaporkan, ‘pesta nyanyi’ sekumpulan remaja di sebuah padang di Kepong Baharu, Kuala Lumpur berakhir apabila polis melakukan kunjungan selepas menerima maklumat.

Kejadian itu berlaku pada kira-kira tiga petang pada Ahad apabila sekumpulan remaja mengingkari perintah kawalan pergerakan dengan berkumpul dan bernyanyi di padang.

Polis yang tiba di tempat kejadian tidak mengeluarkan saman, sebaliknya mendenda pesalah melakukan ketuk ketampi selama puluhan kali sebelum membenarkan mereka pulang. – MalaysiaGazette