najmil faiz mohamed aris
Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Pemimpin negara serta pihak berkuasa telah melakukan yang terbaik untuk menghentikan penularan wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, sekiranya usaha itu gagal, ianya berpunca daripada sikap rakyat yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan.

Jelas beliau, ini kerana ramai lagi yang masih tidak pedulikan arahan tersebut seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

“Masih ramai lagi yang keluar melepak, memancing, berkelah dan ada yang melakukan “private party” semalam (kelmarin) di Johor Bahru.

“Rakyat Malaysia sekalian, saya merayu untuk mematuhi arahan kerajaan supaya kita dapat memutuskan rantaian Covid-19 ini.

“Kejayaan atau kegagalan Malaysia terletak di tangan kita. Ya Allah bantulah kami,” tulisnya di laman Facebook miliknya.

Najmil yang Timbalan Ketua Bahagian UMNO, Kuala Terengganu berkata, rakyat sepatutnya mengambil iktibar apa yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) kerana penularan wabak Covid-19 di sana dikatakan berpunca daripada kegagalan pemimpin mereka, Donald Trump yang terlalu yakin dengan perubatan yang dimiliki negara itu.

Malangnya, kes positif di AS meningkat lebih 15,000 orang dan hampir 2000 kematian. Sikap sambil lewa Trump akhirnya memusnahkan negaranya. – MalaysiaGazette