Annuar Musa

PUTRAJAYA – Tidak seperti segelintir pihak yang telah membuat keputusan untuk membatalkan sahaja penganjuran bazar Ramadan tahun ini berikutan penularan wabak Covid-19.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berpendapat pihaknya tidak perlu membuat sebarang keputusan berhubung penutupan bazar Ramadan, sebaliknya apa yang perlu dilakukan ialah cuba menambah baiknya.

Jelas Annuar, sememangnya bazar Ramadan adalah satu keperluan kepada warga kota yang tidak sempat memasak serta perlu membeli makanan untuk berbuka.

“Saya sudah beritahu Datuk Bandar, juga Perbadanan Putrajaya. Saya beri masa kepada semua untuk buat penelitian, kajian untuk tambah baik bazar Ramadan bukannya terus hendak tutup untuk tahun ini.

“Tidak perlu terburu-buru, hanya kerana Singapura kata tidak akan ada bazar, ada juga kerajaan negeri. Kita perlu buat penelitian. Memanglah jika ikut lazim bazar sebelum ini, tidak boleh.

“Sebut bazar sahaja, kita akan fikir bagaimana orang berpusu-pusu, tempat sempit, beratus gerai dan sebagainya.

“Tapi kita perlu juga fikir tentang keperluan masyarakat khasnya yang duduk di bandar. Ada yang balik lewat dan tidak sempat masak ketika bulan puasa. Ini sememangnya satu keperluan.

“Dengan menidakkan atau menutup bazar Ramadan, kamu tidak selesaikan masalah itu sebalikya perlu penelitian, tambak baik dan sebagainya. Masalahnya bukan bazar sebaliknya cara pengendaliannya,” katanya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa (kiri) bercakap sesuatu dengan anggota-anggota bomba sebelum memulakan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di Presint 15, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 31 MAC 2020.

Beliau berkata demikian selepas membuat pemantauan operasi sanitasi awam Covid-19 di Presint 15 diserta oleh Perbadanan Putrajaya, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), RELA dan Alam Flora.

Petugas Alam Flora melakukan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di Presint 15, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 31 MAC 2020.

Kata Annuar, masa telah diberikan kepada pihak berwajib untuk mencadangkan garis panduan serta Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk menambah baik bazar-bazar Ramadan sebelum pengumuman tentangnya dibuat.

“Saya beri contoh, jika sebelum ini ada 50 gerai mungkin lepas ini kita kecilkan kepada 10 sahaja dengan jarak yang betul. Jika tepat sempit, kita letak di tempat lain pula. Kita boleh susun betul-betul. Kena ada perancangan yang baik.

“Bagi memerangi Covid-19 ini juga, ini saya hanya beri contoh untuk di fikir-fikirkan terlebih dahulu. Selalunya pembeli akan membelek-belek barang yang dibeli, mungkin kali ini penjual bungkus sahaja. Fikirkanlah.

“Jika ada kaedah-kaedah kita boleh baiki, kita perbetulkan bagi kesenangan umum nanti,” ujarnya. –MalaysiaGazette