Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Noor Hisham Ahmad Dahlan (tiga kanan) bertanyakan sesuatu dengan gelandangan selepas membuat lawatan penempatan gelandangan sementara bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 01 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Seramai 510 gelandangan telah diselamatkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula bagi membendung penularan Covid-19.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, mereka kini ditempatkan buat sementara waktu di empat pusat penempatan di sekitar Kuala Lumpur sehingga 14 April ini.

Beliau berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil inisiatif menyelamatkan golongan gelandangan bersama enam agensi lain bermula 26 Mac lalu hingga semalam.

Menurutnya, sepanjang menjalankan operasi itu pihaknya mengenal pasti14 lokasi panas bagi gelandangan menjadikan tempat bermalam.

“Gelandangan ini terdiri warga tempatan dan warga asing dari Indonesia, Myanmar, Vietnam, Jepun, India, Syria, Mesir, Sri Lanka, Korea, Pakistan dan Somalia.

“Mereka diasingkan antara lelaki dan wanita manakala bagi gelandangan yang berkeluarga dan memiliki anak kecil ditempat di Anjung Singgah.

“Mereka yang diselamatkan ini ditempatkan di tempat dewan serbaguna iaitu di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Pusat Komuniti Setiawangsa, Dewan Serbaguna Alam Damai dan Dewan Serbaguna Tasik Ampang Hilir,” katanya.

Artikel berkaitan: Gelandangan ditempatkan di pusat khusus sepanjang PKP – Annuar Musa

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Noor Hisham Ahmad Dahlan bercakap kepada media selepas membuat lawatan penempatan gelandangan sementara bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 01 APRIL 2020.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat gelandangan di Pusat Komuniti Sentul Perdana di sini hari ini.

Nor Hisham menambah, semua gelandangan itu turut menjalani ujian saringan dikendalikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sehingga ini keputusan menunjukkan negatif Covid-19.

Artikel berkaitan: PKP: Ke manakah haluan gelandangan?

Tegas beliau, operasi mengesan gelandangan lain untuk diselamatkan juga akan diteruskan sehingga tempoh PKP berakhir.

“Selepas 14 April ini jika PKP tidak disambung, kita akan membantu mereka untuk diletakkan di bawah agensi-agensi lain.

“Pada masa ini, kita sedang mengumpul data jumlah gelandangan yang ada di Kuala Lumpur dengan menggunakan sistem biometrik agar dapat digunakan agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau membertahu sebanyak RM2 juta diperuntukan melibatkan dewan termasuk menyediakan tilam, bantal, dan kelengkapan lain.

“Makanan dan minum mereka ditanggung oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan pihak yang ingin menyumbang makanan boleh disalurkan di empat premis terbabit namun tidak boleh diagihkan oleh mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

Penempatan gelandangan sementara bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 01 APRIL 2020.