Mohammad Rizan Hassan

KUALA LUMPUR – Federasi Kebangsaan Pekerja Belia Malaysia (FKPB) dan Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) menyokong penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang mana peraturan akan diperketatkan dengan tindakan yang lebih tegas.

Kedua pertubuhan itu dalam satu kenyataan turut melahirkan kebimbangan dan rasa sedih melihat semakin banyak tangkapan dan hukuman terhadap golongan remaja dan belia yang melanggar arahan PKP.

Menurut Setiausaha Agung bagi kedua pertubuhan tersebut, Mohammad Rizan Hassan, difahamkan beberapa penjara seluruh negara kini mula menerima pesalah-pesalah PKP kategori juvana mahu pun banduan muda.

“Kami merayu kepada ibubapa dan anggota keluarga yang dewasa agar menjaga anak masing-masing agar mematuhi perintah PKP demi keselamatan mereka juga.

“Masyarakat sekeliling juga perlulah berani menegur perbuatan mereka kerana ianya juga akan menyumbang kepada penularan Covid-19 yang besar ke dalam institusi masyarakat.

“Golongan remaja dan belia bukanlah tetamu di sebalik tembok besi di penjara. Hukuman di atas kesalahan mereka keluar rumah tanpa izin semasa perintah PKP akan memberi kesan kerana memiliki rekod bergelar banduan muda.

“Rekod mereka akan kekal hingga ke akhir hayat. Mereka tidak lagi berpeluang untu menjawat jawatan kerajaan seperti Tentera, Polis, Bomba, apatah lagi sebagai Pegawai Penjara.

“Alangkah sayangnya kerana ada diantara mereka ini amat berpotensi untuk menyarung uniform berkhidmat untuk negara,” katanya dalam kenyataan itu.

Mohammad Rizan menambah, FKPB dan PKPB menyeru semua pihak memainkan peranan demi kesejahteraan kita bersama di mana anak-anak remaja dan belia perlu di tegur dan di bimbing.

Jelasnya, FKPB dan PKPB kini menggerakkan kempen kesedaran kepada golongan remaja dan belia supaya masing-masing ada rasa tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat di samping bersatu menyumbang usaha memerangi penularan Covid-19.

“Mesej kempen kesedaran ini di sampaikan oleh para peserta Projek Reben Kuning Peluang Kedua yang merupakan bekas banduan muda dan pesalah juvana bertemakan Pilih Duduk Rumah, Bukan Pilih Duduk Penjara,” katanya. – MalaysiaGazette