Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menunjukkan graf statistik wabak Covid-19 sambil diperhatikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon pada sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 01 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Data terkini kes positif Covid-19 yang semakin mendatar menunjukkan terdapat tanda awal kejayaan kerajaan membendung penularan wabak berkenaan.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah apabila memberitahu, data tersebut merupakan hasil daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu yang berakhir semalam.

“Kalau kita lihat kajian Malaysia Institute Of Economic Research menunjukkan 399 kes baharu positif Covid-19 setiap hari dengan kumulatif 4,000 kes sehingga semalam,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menunjukkan graf statistik wabak Covid-19 pada sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 01 APRIL 2020.

Bagaimanapun beliau berkata, data sebenar menunjukkan unjuran mendatar dengan sekitar 140 kes baharu dan hanya kumulatif kes dijangkiti sebanyak 2,700 kes.

“Jadi nampak daripada graf tersebut, ada tanda-tanda awal bahawa kita berjaya dalam melakukan pelaksanaan PKP,” tambahnya.

Menurut Noor Hisham, pihaknya berharap akan dapat mempertingkatkan strategi dan aktiviti pada PKP fasa kedua terutamanya di kawasan panas yang telah dikenalpasti.

Jelasnya, jika terdapat kes mendadak di kawasan panas tersebut, KKM akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“KKM akan saring semua orang di kawasan tersebut dan mengenalpasti, mengasingkan mereka yang positif untuk diberi rawatan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan waratwan berhubung hasil pelaksanaan PKP fasa pertama yang bermula 18 Mac lalu dan berakhir semalam.

Fasa kedua PKP bermula hari ini dan akan berakhir pada 14 April nanti.

Sebanyak tiga kawasan dikenakan perintah PKPD iaitu di Simpang Renggam, Johor; Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor dan Menara City One, Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.