Amirudin Shari
Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor telah membatalkan semua pelaksanaan Bazar Ramadan di semua kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri itu, berkuatkuasa serta-merta.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu dicapai selepas pihaknya bermesyuarat dengan Yang di-Pertua PBT di seluruh negeri itu, hari ini bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Kedua.

“Kerajaan Negeri baru tadi bermesyuarat melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) malah Setiausaha Kerajaan Negeri akan mengeluarkan arahan sebentar lagi.

“Kita akan menangguh atau membatalkan bazar Ramadan sehingga masa bersesuaian ditetapkan.

“Ini kita letakkan jika sekiranya kementerian dan jabatan kesihatan menyarankan sudah boleh dilakukan, maka baru kita buat. Tapi pada waktu ini kita tangguhkan apa-apa pelaksanaan bazar Ramadan,” katanya pada sidang media di kediaman rasminya, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin tidak menolak kemungkinan untuk mewujudkan kaedah baharu bagi menggantikan pelaksanaan bazar Ramadan itu melalui tempahan dalam talian.

“Ada cadangan-cadangan yang saya terima daripada Yang di-Pertua PBT pelaksanaan secara dalam talian.

“Tapi saya percaya akan ada dengan pengupayaan penjualan atas talian dan penghantaran, kita akan dengar pula lepas ini bazar Ramadan dalam talian,” katanya. – MalaysiaGazette