Amirudin Shari
Amirudin Shari

SHAH ALAM – Susulan kekurangan bekalan topeng muka, cecair pembasmi kuman dan sarung tangan klinikal di pasaran, Kerajaan Negeri Selangor akan memperuntukkan sehingga RM2 juta bagi tujuan pembekalan keperluan itu kepada rakyat negeri ini secara percuma.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembekalan itu adalah sebahagian daripada Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa Kedua yang diumumkannya hari ini, membabitkan peruntukan sebanyak RM272 juta.

“Salah satu aspek yang penting dalam memerangi pandemik Covid-19 adalah kesihatan rakyat.

“Untuk memastikan kesihatan rakyat Selangor ini terjamin, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk membekalkan topeng muka, hand sanitizer dan sarung tangan. Untuk maksud ini sejumlah RM2 juta akan dibelanjakan,” katanya dalam perutusan khasnya di kediaman rasminya di sini, hari ini.

Memandangkan Selangor mencatatkan jumlah kes positif Covid-19 tertinggi di negara ini, Kerajaan Negeri Selangor juga bersetuju untuk memberikan bantuan kewangan sehingga RM1,000 kepada setiap rakyat negeri itu yang dijangkiti virus tersebut.

“Kerajaan Negeri juga amat prihatin dengan pesakit yang positif Covid-19. Untuk tujuan ini sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada mereka yang terkena virus ini,” katanya.

Selain itu, katanya Kerajaan Negeri juga akan menyediakan sebanyak RM3 juta untuk operasi stesen kuarantin Negeri Selangor yang beroperasi untuk penempatan Person Under Surveillance (PUI) bagi kluster tabligh dan ketibaan dari luar negara.

“Kerajaan Negeri juga menghargai peranan Task Force Covid Negeri Selangor yang aktif merangka tindakan untuk memerangi pandemik ini. Sejumlah RM50,000 diperuntukkan untuk task force ini,” katanya.

Sementara itu, bagi meringankan beban mahasiswa dan mahasiswi di negeri itu, Kerajaan Negeri akan menagguhkan bayaran balik pinjaman secara automatik bagi peminjam bermula 1 April hingga 30 September ini.

“Selain penangguhan bayaran pinjaman pendidika itu, Kerajaan Negeri juga akan menghulurkan bantuan makanan secara percuma melalui pihak universiti. Untuk usaha ini, sejumlah RM6.07 juta diperuntukkan,” katanya.

Katanya, bagi merealisasikan Selangor Agro Market yang diumumkan beliau sebelum ini, sebanyak RM1 juta akan diperuntukan bagi memastikan bekalan makanan segar dapat dibekalkan kepada rakyat Selangor sepanjang tempoh PKP ini.

“Selangor Agro Market yang telah saya umumkan pada minggu lalu bertujuan menyediakan bekalan makanan yang segar pada harga yang lebih kepada membantu 300,000 penduduk di Selangor dengan peruntukan RM1 juta,” katanya.

Bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan, seramai 5,000 petani dan nelayan akan diberikan bantuan khusus usahawan tani dengan jumlah peruntukan RM500,000.

“Seramai 2,000 petani, penternak dan nelayan akan dibantu dari segi input benih, ternakan, peralatan serta bahan mentah dengan peruntukan RM1 juta,” katanya. – MalaysiaGazette