Stuart Ramalingam.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan  memotong sementara gaji pekerjanya jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berakhir 14 April 2020 dilanjutkan lagi.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam berkata, badan induk itu akan memotong gaji semua kakitangan pentadbiran dan staf teknikal antara 10% hingga 20%, bergantung kepada gaji masing-masing.

Katanya, Urus Setia Agung FAM telah membuat penilaian dengan hati-hati dan pemahaman yang teliti terhadap impak wabak Covid-19 yang memberi kesan kepada seluruh negara dan juga industri bola sepak tempatan sejurus tempoh kedua PKP.

“Maka itu, Urus Setia Agung akan melaksanakan beberapa langkah penjimatan, termasuk mengenakan potongan gaji sepanjang krisis ini andai PKP dilanjutkan.

“Ia telah dipersetujui oleh kakitangan pentadbiran dan teknikal FAM sebagai usaha memastikan kestabilan kewangan FAM dalam menempuh saat-saat sukar ini dan keputusan berkenaan dicapai menerusi rundingan atas semangat musyawarah dengan niat yang murni,” dalam kenyataan rasmi di laman FAM hari ini.

Beliau dalam perkembangan berkaitan mengucapkan penghargaan kepada semua tenaga kerja FAM atas komitmen mereka terhadap organisasi, terutama pada tempoh yang sukar ini.

“Keputusan itu merupakan langkah terakhir yang dibuat selepas mengkaji pelbagai aspek dengan Exco FAM dan pengurusan atasan sejak wabak Covid-19 memaksa semua saingan bola sepak tempatan ditangguhkan.

“Seboleh-bolehnya kami ingin mengelak daripada mengambil pendekatan ini tetapi mengambil kira keadaan yang tidak menentu keputusan ini diambil demi kepentingan semua, termasuk kepentingan FAM selaku satu organisasi,” tegas Stuart lagi. – MalaysiaGazette