elektrik
Gambar hiasan

PERSATUAN Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memfokuskan kebajikan golongan M40 dan B40 dan secara langsung membantu mereka dalam Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN.

Oleh kerana magnitud impak Covid-19 terhadap ekonomi global dan kemerosotan dalam pasaran minyak mentah, kami ingin menggesa Kerajaan Persekutuan untuk bersedia menghadapi senario kes terburuk. Objektif utama AWER adalah untuk memastikan Malaysia mampu menstabilkan sektor pemboleh-ekonomi utama kita seperti air dan tenaga bagi memastikan kita bersedia untuk ekonomi bergelora pada tahun 2020 dan 2021.

  1. Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE)

Dana KWIE dihasilkan daripada penjimatan kos bahan api, pembayaran kapasiti dan pemulihan hasil dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) apabila TNB menjana lebih banyak hasil daripada had yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga. Dana KWIE adalah milik rakyat dan sektor perniagaan. Diskaun baru-baru ini yang diberikan dalam tarif elektrik terdiri daripada dana KWIE, sumbangan dari TNB dan peruntukkan kerajaan. Oleh kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa, TNB akan menghadapi penurunan dalam kutipan hasil yang boleh memberi kesan kepada dana yang disalurkan kepada KWIE. Sekiranya ramalan kami betul, kejatuhan harga minyak mentah akan menurunkan bersama-sama harga arang batu dan gas asli. Penurunan harga bahan api bersama-sama ini akan menambah lebih banyak dana kepada KWIE apabila kos bahan api jatuh di bawah harga bahan api yang ditanda aras semasa pelarasan tarif elektrik. Kerajaan Persekutuan dan kementerian yang bertanggungjawab mestilah berhemat dalam penggunaan dana KWIE supaya dana ini dapat terus memainkan peranan sebagai “penyerap impak” dalam tarif elektrik untuk tahun 2020 dan 2021.

  1. Dana Penstabilan Harga Tenaga 

Sudah bertahun-tahun AWER telah mencadangkan penubuhan Dana Penstabilan Harga Tenaga. Harga sumber tenaga tidak menentu dan boleh tertakluk kepada kartel kerana Malaysia juga bergantung kepada import sumber tenaga. Di samping itu, ketidaktentuan mata wang juga akan menjadi faktor utama yang memberi kesan kepada bekalan sumber tenaga dengan kos berpatutan. Maka, adalah penting bagi Malaysia untuk menubuhkan Dana Penstabilan Harga Tenaga untuk membantu pengguna menyerap kejutan dalam harga sumber tenaga. Dana ini bukanlah satu bentuk subsidi dan ia dihasilkan secara automatik dari harga runcit sumber tenaga melalui pemodelan data sejarah harga dan ramalan.

Ia hanya digunakan untuk mengurangkan kesan turun naik harga bahan api dalam pasaran antarabangsa. Harga pasaran semasa yang digunakan di Malaysia akan ditambah dengan kos had atas dan kos had bawah. Apabila kenaikan harga melebihi atau berkurang daripada had yang ditetapkan, harga pasaran dipindahkan ke tahap baru dengan had atas dan had bawah yang baru. Jurang antara had diperolehi daripada data sejarah mengenai turun naik harga senario terburuk dalam pelbagai jenis sumber tenaga. Saiz dana adalah berdasarkan keupayaan untuk mengekalkan turun naik harga  berdasarkan senario harga terburuk.

  1. Kejatuhan Harga Minyak Mentah dan Harga Masa Hadapan Bagi Arang Batu dan Gas Asli

Malaysia mempunyai manfaat jika sekiranya harga arang batu dan gas asli dapat mengikut kejatuhan harga minyak mentah. Isu utama di sini ialah kita perlu berusaha supaya Ringgit kekal kukuh. Lebih daripada 50% campuran tenaga untuk elektrik adalah arang batu dan kita membelinya menggunakan Dolar Amerika. Kerajaan juga perlu meneroka pasaran spot LNG (Gas Asli Cecair) untuk mengurangkan harga gas asli bagi sektor elektrik dan pembuatan. Ini akan dapat meningkatkan perkembangan ekonomi kita dengan mengurangkan kos untuk menjalankan perniagaan. Kerajaan mesti membangunkan mekanisme yang boleh diguna pakai untuk menyerap peluang ini secepat mungkin.

  1. Pelarasan TarifAirTerawat Perlu Di Tunda Ke Tahun 2021

AWER juga ingin kerajaan menangguhkan pelaksanaan pelarasan tarif air untuk enam pemegang lesen air terawat (operator air). Kerajaan juga harus membatalkan mekanisme “cost plus” yang digunakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk menetapkan tarif air kerana mekanisme ini tidak mengeluarkan kos ketidakcekapan dalam operasi dan hanya menambahkan margin keuntungan yang dikawal selia di atas kos yang dicadangkan. Mekanisme betul yang mesti digunakan adalah mekanisme penandaarasan seperti yang telah dipersetujui pada tahun 2009. Penandaarasan kos input di mana kos input operasi yang serupa akan dinilai kepada kos terendah yang cekap (efficient) dan operator air yang beroperasi lebih tinggi daripada kos ditanda aras tidak akan dibenarkan untuk menyalurkan kos ketidakcekapan kepada tarif air. Pada tahun 2020, SPAN perlu diarahkan untuk menggunakan kaedah penanda aras kos untuk melaras tarif. Ini akan membolehkan penetapan kos secara telus dan cekap untuk disalurkan kepada tarif. Disebabkan cadangan kami untuk menangguhkan proses pelarasan tarif air, Kementerian Kewangan juga harus memastikan bahawa Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dapat membayar bon sedia ada dan mana-mana bon baru yang dikeluarkan mesti juga bon yang di jamin oleh kerajaan sepenuhnya untuk memastikan kos paling rendah disalurkan kepada tarif air.

 Kesimpulan

Ini adalah beberapa isu yang kami ingin utarakan kepada kerajaan untuk menambah baik Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN bagi mengoptimumkan impak positif kepada ekonomi negara kita. Setelah selesai membendung penyebaran Covid-19, kita perlu bersedia untuk bekerja keras membangunkan negara bersama-sama!

Oleh: Piarapakaran S, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)