Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Bantuan sekali dapat (one off) di bawah inisiatif Wilayah Cakna untuk peniaga kecil dan penjaja di Wilayah Persekutuan mula disalurkan.

Namun begitu Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, sehingga kini hanya seramai 6,398 penjaja yang menghubungi pihaknya untuk memberikan maklumat berkenaan akaun bank agar RM500 dapat disalurkan.

Daripada jumlah keseluruhan peniaga kecil yang telah menghubungi pihaknya, seramai 2,101 telah menerima wang dengan nilai RM1,050, 500.

“Di bawah Wilayah Cakna juga, sumbangan one-off pada penjaja sudah mula dimasukkan ke akaun-akaun penjaja walaupun begitu daripada 15,365 yang ada dalam rekod kita, jumlah pelesen yang mendaftarkan, yang telah menghubungi kita baru hanya 6,398 dan daripada jumlah itu sebanyak 5,810 telah dipindahkan wang RM500,” katanya yang juga merangkap sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri menerusi siaran langsung di Facebook hari ini.

Seramai 227 kes permohonan telah ditolak dan Annuar memberi jaminan akan menyemak segera perkara itu.

Selain itu Kementerian Wilayah Persekutuan juga mula mengagihkan pemberian tunai kepada 2,341 penghuni unit Perumahan Awam Seri Johor pada 5 April ini.

Barisan hadapan termasuk petugas hospital, klinik, polis dan tentera juga ujarnya akan menerima 1,800 pek bekalan makanan setiap hari daripada Kementerian Wilayah Persekutuan yang bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Dalam masa yang sama, Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi Wilayah Cakna juga kata Annuar lagi akan membekalkan 250,000 topeng penutup hidung dan mulut kepada petugas barisan hadapan.-MalaysiaGazette