SonaOne kini muncul dengan single berjudul Bomba.

KUALA LUMPUR – Penyanyi rap, SonaOne kini muncul dengan single berentak rancak berjudul Bomba yang menampilkan perbezaan di antara penerbitan pop berkelas tinggi dan hasil hip-hop yang lebih unik.

SonaOne yang juga  menyifatkan lagu terbaharunya itu sangat istimewa kerana menggabungkan tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Perancis sebagai eksperimen dalam setiap lagu yang dihasilkannya.

“Ia karya yang menyeronokkan, ceria dan ada tiga bahasa yang sememangnya saya. Kekuatan lagunya adalah pada dinamik gabungan muzik serta bahasa.

“Terdapat aliran lirik puitis serta baris-baris yang kerap diucap dalam Bahasa Inggeris, Melayu serta Perancis yang disampaikan dengan selingan bernuansa pop, R&B dan bunyian rap.

“Berteraskan sedikit unsur muzik kelab malam, ia mampu menonjol dan menjemput pendengar untuk sama-sama menikmatinya,” katanya.

Lagu Bomba, ciptaan SonaOne sepenuhnya menjadi lagu pengenalan buat album terbaharu yang bakal dilancarkan, tidak lama lagi.

“Single Bomba adalah keluaran pertama album berjudul Freestyle Play yang akan muncul, tidak lama lagi. Album ini menjanjikan pendengar dengan lagu berkualiti.

SonaOne merupakan seorang penyanyi rap, pencipta lagu serta penerbit muzik yang berdarah kacukan Melayu-Perancis.

“Dari sudut sonik atau bunyian, saya ingin pendengar merasai apa yang dirasakan pada kala berada dalam studio semasa proses rakaman. Ini suatu situasi dunia terbatas dengan imaginasi,” katanya yang berjaya meraih 10.8 juta putaran di Spotify menerusi Detail pada tahun lalu.

Katanya yang memperkenalkan karya pertamanya di bawah naungan Def Jam South East Asia (Def Jam SEA), gabungan irama pop dan hip hop memberi kelainan buat lagu Bomba.

“Lagu ini boleh dikatakan intaian ke era yang baharu. Ia seperti langkah pertama hingga ke aras seterusnya. Kini, gabungan pop dan hip hop menjadi kebiasaan dalam dunia muzik.

“Namun, saya tak pernah berpuas hati dalam berkarya. Bersedialah untuk melangkah satu dunia baharu. Andai terhidu api lekas hubungi Bom-Bomba,” ujar penyanyi yang pernah berkolaborasi dengan Joe Flizzow menerusi lagu Apa Khabar.

Lagu Bomba sudah boleh didengar di seluruh pelantar digital. – MalaysiaGazette