Petugas KKM tiba untuk membuat saringan Covid-19 terhadap penduduk Kampung Sungai Lui Batu 21 hingga Batu 24 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sungai Lui Hulu Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 02 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan empat kematian pesakit positif Covid-19 dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Kebangsaan (CPRC) hari ini.

Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 61 kes setakat ini

Bercakap kepada media dalam sidang media harian di sini, Dr Noor Hisham berkata, kematian ke-58 merupakan kes ke-2210 merupakan lelaki tempatan berusia 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Mangsa yang dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 27 Mac lalu juga mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 (kes ke-1031) dan disahkan meninggal dunia jam 1.37 tengah hari tadi.

Kematian ke-59 juga membabitkan mangsa lelaki warga tempatan yang berusia 68 tahun mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu.

“Beliau disahkan meninggal dunia petang semalam,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, kes kematian ke-60 (kes ke-3073) merupakan lelaki
warganegara Malaysia berumur 53 tahun yang dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 31 Mac 2020.

Beliau disahkan meninggal dunia pada hari ini (5 April 2020) jam 12.39 pagi manakala kematian ke-61 pula merupakan kes ke-2200 yang melibatkan mangsa berusia 66 tahun di Hospital Keningau, Sabah.

Mangsa menerima rawatan pada 26 Mac lalu dan mempunyai latar belakang kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata sebanyak 179 kes positif Covid-19 baharu telah dilaporkan hari ini menjadikan keseluruhan kes kini di paras 3,662 kes.

“Daripada 179 kes ini, 46 adalah berkaitan dengan perhimpunan Seri Petaling.
Sehingga kini, seramai 99 kes positif Covid -19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Daripada jumlah tersebut, 48 kes memerlukan bantuan pernafasan,” kata Noor Hisham lagi. -MalaysiaGazette