KUALA LUMPUR – Bank Simpanan Nasional (BSN) memberi jaminan akan berusaha sebaik mungkin memastikan proses penyaluran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) esok berjalan lancar.

Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani berkata, pembayaran BPN akan dibuat dalam dua fasa iaitu pada bulan April dan Mei 2020.

Bagi fasa pertama, pembayaran BPN melalui pengkreditan ke akaun akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 6 April hingga 15 April ini.

Pengeluaran wang tunai boleh dibuat bukan sahaja di Mesin Juruwang Automatik (ATM) BSN, malah turut boleh dilakukan di semua ATM rangkaian MEPS di seluruh negara.

 

Yunos Abd Ghani

Menurutnya, caj RM1 bagi urus niaga pengeluaran tunai antara bank di semua ATM dikecualikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung.

Para penerima juga dinasihatkan untuk sentiasa mempraktikkan penjarakan sosial sejauh 1 meter serta mengunjungi Cawangan BSN sekiranya perlu sahaja.

”Untuk pengetahuan umum, beberapa Cawangan BSN tidak beroperasi untuk sementara waktu berikutan penularan wabak Covid-19. Namun, operasi ATM kami masih beroperasi seperti biasa.

”Orang ramai juga disarankan untuk membuat pengeluaran di mana-mana ATM yang berhampiran anda,” tambahnya.

Sementara itu, sekiranya status bayaran secara kredit ke akaun tidak berjaya, penerima dinasihatkan untuk membuat semakan kelayakan masing-masing melalui laman Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia iaitu https://www.hasil.gov.my
dan https://bpn.hasil.gov.my. – MalaysiaGazette