Ali Tinju (kiri) menyampaikan bantuan keperluan asas kepada wakil MTR sebelum diedarkan kepada mereka yang memerlukan sepanjang PKD di Sepang baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Walaupun terhalang kerana arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun Pertubuhan Pembela Nasib Melayu Malaysia – Media Tentera Rakyat (MTR) tetap berusaha membantu golongan yang terkesan kerana wabak Covid-19.

Presiden NGO No.1 Negara, Datuk Ali Tinju berkata, PKD menyukarkan sedikit tugas pihaknya menghulurkan bantuan namun komitmen ahli-ahlinya di seluruh negara menjadikan bantuan pihaknya sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Saya tidak boleh melihat dan mendengar apabila ada kawan-kawan berkongsi berita masalah rakyat yang miskin dan tidak dapat makan sepanjang PKP dan mereka tidak dapat bekerja seperti biasa semasa Covid-19 ini.

“Justeru, saya dan jentera-jentera berusaha kerja kuat memastikan mendapatkan bekalan dan memberi bantuan kepada mereka yang dikenalpasti di seluruh negara.

Ali Tinju menyampaikan bantuan kepada salah seorang wakil MTR di Sepang baru-baru ini.

“Jika mereka ada di sekitar Sepang, saya beri kepercayaan 100 seratus peratus kepada jentera menghantarnya sendiri atau meminta jasa baik wakil masjid dan surau tetapi jika jauh saya meminta pertolongan kawan-kawan kita dengan cara memasukkan wang kepada akaunnya dan memintanya menghantar bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Saya bantu semampunya dan tidak mahu dengar rakyat marah kepada kerajaan memerintah dalam keadaan Covid-19,”” katanya yang nama sebenarnya Mohd. Ali Baharom kepada MalaysiaGazette hari ini.

Bukan sahaja di Lembah Klang, Ali Tinju juga menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan di negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak serta tidak melupakan pihak barisan hadapan seperti polis, tentera dan bomba.

Wakil MTR menyampaikan bantuan kepada ahli bomba di Sepang baru-baru ini.

Malah beliau menganggarkan telah mengeluarkan belanja daripada poket sendiri kira-kira RM100,000 bagi tujuan itu.

Antara bantuan yang diberi ialah beras, makanan asas dan makanan dalam tin dan wang tunai.

Pada mulanya bantuan diberi kepada rakan-rakan bekas tentera namun ia diperluaskan apabila mendapat tahu ramai lagi golongan yang memerlukan bantuan pada masa penularan Covid-19.

Menurutnya, bantuan daripada pihaknya sudah bermula sejak hari pertama PKD dan akan berusaha meneruskan usaha berkenaan sehinggalah kerajaan mengumumkan akan menamatkan PKD.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.