Foto Instagram Fazura.

KUALA LUMPUR – Pelakon kontroversi, Zarina Anjoulie berkongsi pengalamannya yang berdepan masalah membayar barangan keperluan untuk diagih kepada golongan kurang berkemampuan, kelmarin.

Zarina yang merupakan ibu tunggal akhirnya mengambil keputusan untuk beredar dengan niat datang kembali ke kedai berkenaan semalam

Namun mesej langsung (DM) yang dilayang aktres Nur Fazura menjadi ‘penyelamat’ yang menawarkan bantuan, membolehkan Zarina membayar semua barangan itu.

Menerusi pendedahannya di Instagram (IG), Zarina atau lebih mesra disapa Anju mengaku terkejut kerana jumlah bantuan dihulurkan aktres berkenaan sangat banyak.

“Kami berhadapan masalah kewangan apabila kad kredit yang digunakan sudah melebihi had. Justeru, kami bercadang menyambung semula pembelian esok (semalam).

“Tiba-tiba saya menerima mesej peribadi daripada seorang artis yang menyatakan hasrat untuk memberi sumbangan. Artis yang dimaksudkan adalah Kak Fazura.

“Sebaik sahaja melihat wang yang dipindahkan, saya terkejut kerana jumlahnya sangat banyak.

“Saya belajar sesuatu iaitu jika kita berniat baik hendak membantu orang, walaupun berhadapan masalah, Allah tetap membuka jalan,” kata pelakon Anak Pontianak ini melalui IG Story, semalam.

Menerusi video itu, Zarina turut menunjukkan barangan keperluan yang dibeli menggunakan wang sumbangan Fazura bersama seorang lagi dermawan yang juga pengusaha burger.

Antara barangan yang dibeli adalah lampin pakai buang, susu formula serta makanan seperti beras, roti, telur dan pelbagai lagi.

Terharu dengan sifat murah hati pelakon Dendam Pontianak itu, Zarina meminta semua pihak yang menonton video berkenaan agar membanjiri IG Fazura dengan emoji cinta dan ucapan terima kasih. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bagus lah. Moga2 Anju dan kita semua beroleh hidayah Allah dan menjadi insan lebih baik lepas ini.

Comments are closed.